JOHOR BAHRU: Seorang pemandu kereta BMW rentung dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan berhampiran Jambatan Permas Jaya, Lebuhraya EDL, Pasir Gudang menghala ke Kampung Bakar Batu pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 6.10 pagi itu, pemandu kereta Perodua Myvi, Honda City dan sebuah van berjaya menyelamatkan diri.
Seramai 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan kecemasan.
Menurut Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Faiz Sulaiman, dua buah kenderaan, iaitu BMW dan van pekerja terbakar 90 peratus manakala kereta Myvi terbakar 60 peratus dan Honda City tidak terbakar.
“Terdapat seorang mangsa tersepit dan rentung sebanyak 90 peratus di bahagian pemandu kereta BMW. Anggota bomba bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula dan air tangki pam jentera FRT,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pagi tadi, tular beberapa video dan gambar mengenai kemalangan tersebut yang menyebabkan aliran trafik sesak.
Mohd. Faiz berkata, anggota bomba di lokasi berjaya mengeluarkan mangsa yang terkorban dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Hingga kini, identiti mangsa yang maut masih belum dikenal pasti dan operasi tamat pada pukul 8.10 pagi. – UTUSAN










