SIK: Seorang lelaki terselamat manakala rakannya dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik dalam kejadian di Tasik Gubir, di sini semalam.
Mangsa yang terselamat ialah Muhammad Khairul Badri Mahyuddin, 28, manakala Othman Abdul Ghani, 49, dilaporkan masih hilang.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang memancing ikan di tasik tersebut.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintenden Abdull Razak Osman berkata, bot dinaiki mereka dikatakan terbalik selepas terlanggar tunggul kayu di tengah tasik.
“Mangsa, Muhammad Khairul Badri berenang sehingga ke tebing tasik sebelum mendapati rakannya tiada,” katanya ketika ditemui di Tasik Gubir di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa yang terselamat bermalam di pinggir tebing tasik sebelum meminta pertolongan daripada bot nelayan lain kira-kira pukul 7.30 pagi ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.07 pagi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik dan Sungai Petani dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).”
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani dan Jitra turut diarahkan ke lokasi untuk membantu operasi SAR,” katanya. –UTUSAN ONLINE