JARABULUS, SYRIA: ‘Ribut’ debu, panas terik sehingga 40 darjah Celsius pada siang hari, khemah yang sempit dan kekurangan kemudahan asas.
Demikian kehidupan harian dilalui pelarian di kebanyakan kawasan yang dijadikan kem untuk orang pelarian dalaman (IDP) di Jarabulus.
Jarabulus merupakan kawasan yang agak terpencil di utara Syria berbanding A’zaz yang ‘sarat’ dengan pembangunan semula bandar.
Biarpun pekan ini ke A’zaz sejauh 112 kilometer, ia berhampiran Sungai Furat atau Eupharates yang disebut dalam hadis baginda Rasulullah SAW mengenai kiamat dan peperangan.
Menurut Pengurus Projek Ataa Relief, Abdul Aziz Mansour, selepas 10 tahun konflik di Syria khususnya di kawasan utara, ia membawa malapetaka terhadap golongan kanak-kanak dan keluarga yang terpaksa menjadi pelarian.
“Statistik terbaharu menunjukkan lebih 1.2 juta kanak-kanak di utara Syria menjadi anak yatim piatu, tanpa ayah, tanpa ibu, kerana perang, serangan bom serta hidup merempat dari satu kawasan ke satu kawasan lain.
“Untuk itu, kita melancarkan program tajaan membantu anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas program sumbangan dijalankan Misi Kemanusiaan MyCare-
Econsave diketuai Ahli Lembaga Penasihat MyCare, Dr. Mohd. Zin Kandar dan turut disertai Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam di sini semalam.
Ataa Relief merupakan pertubuhan kemanusiaan berpangkalan di Istanbul, Turkiye dan antara pertubuhan berpengaruh di utara Syria sehingga mampu membina penempatan semua pelarian Syria, antaranya di sini dan A’zaz.
Menurut Abdul Aziz, sehingga 2021, seramai 20,000 kanak-kanak meraih manfaat daripada program tersebut dan mengharapkan akan ramai lagi rakyat Malaysia mahupun seluruh dunia membantu golongan terlibat.
Sementara itu, Mohd. Zin berkata, pihaknya telah melaksanakan program tajaan anak yatim dan keluarga miskin sejak 2010.
Jelasnya, untuk tajaan anak yatim di Palestin, Syria dan Iraq, nilainya adalah AS$50 sebulan manakala keluarga miskin, antara AS$100 hingga AS$250 sebulan. -UTUSAN










