Pasukan Khas tangani tuntutan Sultan Sulu 

Pasukan Khas tangani tuntutan Sultan Sulu 

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah Pasukan Khas ditubuhkan bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap kerajaan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau mengetuai pasukan khas itu dan disertai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun dan pakar-pakar berkaitan timbang tara antarabangsa bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya.

Katanya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bersama Jabatan Peguam Negara sedang menentukan Terma rujukan (TOR) dan juga keahlian tambahan jika perlu bagi Pasukan Khas ini. 

“BHEUU dan Kementerian Luar akan bertindak selaku urus setia Pasukan Khas ini. Kerajaan memandang serius isu yang mengganggu gugat kepentingan aset-aset negara di luar negara oleh waris Sultan Sulu khususnya aset di bawah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan. 

“Justeru, tindakan proaktif dan agresif diambil dalam menangani isu ini demi mempertahankan aset dan kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Rabu lalu, Wan Junaidi menegaskan, penguatkuasaan ‘Final Award’ dituntut pihak tertentu yang mendakwa sebagai pewaris Sultan Sulu telah pun digantung oleh Mahkamah Rayuan Paris di Perancis.

Mahkamah berkenaan membenarkan permohonan daripada kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan ‘Final Award’ yang bertarikh 28 Februari 2022 lalu.  

Kenyataan beliau itu sebagai merujuk penguatkuasaan ‘Final Award’ dikeluarkan Dr. Gonzalo Stampa berikutan tuntutan pihak tertentu yang mendakwa pewaris Sultan Jamalul Kiram II.

Tuntutan berkenaan diputuskan menerusi satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol yang terdahulu telah difailkan oleh kumpulan penuntut terbabit beberapa tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN