LARUT: Individu yang memperbaharui pasport mereka secara dalam talian diminta segera mengambil dokumen tersebut atau akan dilupuskan setelah 90 hari.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ramai yang memperbaharui pasport namun setelah dokumen itu siap, mereka tidak datang membuat tuntutan.
“Apabila sudah buat pasport, menjadi tanggungjawab untuk individu mengambil dokumennya.
“Tak kan kita pula yang nak kena cari dia,” katanya kepada pemberita dalam majlis penutupan Program Kita Demi Negara Zon Utara di Dewan Astaka Batu Kurau di sini hari ini.
Setakat ini, menurut laporan Jabatan Imigresen Malaysia, lebih 2,600 pasport yang diperbaharui tidak dituntut
Menurut Hamzah, pasport yang tidak dituntut selepas 90 hari akan terbatal secara automatik.
“Sekiranya telah terbatal, individu itu perlu membuat permohonan baharu dan terpaksa mengeluarkan pembayaran semula.
“Jadilah seorang individu yang bertanggungjawab dan berdisiplin, apabila sudah buat dokumen dan telah diberitahu dokumen itu siap, maka pergilah ambil,” katanya. – UTUSAN










