OPR elak ringgit terus menjunam

OPR elak ringgit terus menjunam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan nilai Kadar Dasar Semalaman (OPR) adalah bertujuan me­ngawal mata wang negara yang sekarang ini terus ‘menjunam’ lemah susulan tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang agresif menaikkan kadar faedah mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar ekonomi, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berpendapat, BNM tiada pilihan dalam mengawal inflasi disebabkan Ringgit Malaysia (RM) menjadi lemah.

Katanya, kos kredit akan naik dan kos pinjaman juga naik, soal bekalan jaring keselamatan ialah dasar fiskal kerajaan untuk bantu yang perlukan bantuan.

“Bila ringgit lemah, harga import naik, jadi inflasi. Jadi kena kawal nilai tukaran RM dan satu cara ialah menaikkan kadar ringgit supaya jurang antara mata wang itu dengan dolar AS tidak jauh sangat. Kalau tidak wang akan mengalir keluar dan lemahkan ringgit,’’ katanya ketika dihubungi semalam.

Baru-baru ini, akhbar ini melaporkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus.

Menurut BNM, pembukaan semula ekonomi global dan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan pemulihan kegiatan ekonomi, namun faktor itu diimbangi oleh kesan tekanan kos yang semakin meningkat, konflik ketenteraan dan keada­an pembendungan Covid-19 di China.

Nungsari berkata, tindakan BNM bukanlah mengenai mengejar mata wang dolar AS untuk mengawal inflasi semata-mata tetapi perlu dipandang pada kos barangan import secara keseluruhan.

“Kalau jurang antara kadar di AS dan di Malaysia terlalu luas, wang akan mengalir keluar sekali gus melemahkan nilai tukaran ringgit dan ini akan menaikkan semua harga barang yang diimport.

“Bahan makanan kita banyak diimport dan akan naik harga jika ringgit lemah. Ini sudah pun berlaku. Keduanya, pasaran modal negara akan menjadi tidak menarik dan tidak akan menarik dana yang diperlukan oleh kerajaan misalnya untuk berhutang,” jelasnya.

Namun, katanya, perlu diakui bahawa golongan B40 dan M40 adalah yang paling terkesan kerana mereka yang paling banyak menggunakan pinjaman untuk membeli rumah, kad kredit, pembayaran kereta.

“Mereka adalah golongan yang bergantung kepada hutang bank,” katanya.

Beliau juga menyifatkan kadar faedah yang bakal dikenakan memberi impak kepada semua jenis pinjaman terutama pemegang kad kredit dan mereka perlu berhati-hati kerana kadar yang dikenakan mungkin akan ‘menggila’.

“Pinjaman peribadi selalunya berdasarkan gaji, jadi tak ba­nyak macam pinjaman perumahan tapi kadar faedah pinjaman peribadi selalunya jauh lebih tinggi daripada faedah pembe­lian rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN