SEREMBAN: Negeri Sembilan Festival 2022 (NS Fest 2022) yang merupakan acara pelancongan tahunan negeri menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2 juta menerusi program tersebut yang berlangsung sehingga 31 Julai ini di Dataran Nilai.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, festival itu yang menggabungkan tiga program tahunan utama negeri iaitu Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Sembilan (HPPNS), Bulan Usahawan Negeri Sembilan dan Food Fest Negeri Sembilan kali kedua diadakan selepas 2019 lantaran pandemik Covid-19.
“Sasaran RM2 juta hasil jualan pada tahun ini diyakini dapat dicapai menerusi kejayaan membanggakan pada NS Fest kali pertama pada 2019 yang merekodkan hasil jualan keseluruhan sebanyak RM1.1 juta.
“NS Fest merupakan acara pelancongan tahunan Negeri Sembilan yang akan sentiasa dinanti-nantikan kerana dalam festival ini tiga program terbesar peringkat negeri serta yang berskala kecil dan sederhana dapat dilaksanakan secara bersepadu dan menghasilkan impak pelaksanaan yang lebih berkesan, memandangkan sebelum ini ia diadakan secara berasingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan NS Fest dan pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Dataran Nilai, Nilai hari ini.
Menurut Aminuddin, objektif penganjuran NS Fest adalah untuk mewujudkan program promosi yang sinonim dengan Negeri Sembilan sekali gus mampu menjadi tarikan bukan sahaja kepada penduduk negeri ini malah dari negeri-negeri lain.
“Lokasi penganjuran di Nilai juga strategik di mana orang dari luar Negeri Sembilan dan berdekatan seperti Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor boleh datang merasai keunikan makanan dan budaya Adat Perpatih di sini.
“Mungkin ada yang tercari-cari makanan menarik di Negeri Sembilan, kita bawakan contohnya Kodai Makan Ain dari Kuala Pilah (masakan masak lemak) dan sate tulang Jelebu,” katanya.
Jelas Aminuddin, bukan itu sahaja, penganjuran program NS Fest juga amat bertepatan dalam membantu dan membuka peluang serta ruang yang luas kepada usahawan, warga peladang, penternak dan nelayan untuk pengembangan dan peningkatan hasil serta meneroka ruang pemasaran produk mereka.
Beliau berkata, penganjuran kali ini melibatkan sebanyak 250 pempamer yang merangkumi usahawan dan pameran termasuk HPPN NS, Arena Usahawan serta agensi negeri dan Persekutuan.
Menurut Aminuddin, sepanjang empat hari penganjuran NS Fest, pelbagai acara disusun dengan tarikan utama di gerai jualan usahawan tempatan Negeri Sembilan, produk hasil keluaran sektor pertanian Negeri Sembilan dan kios jualan makanan cita rasa Negeri Sembilan.
Tambahnya, HPPN NS kali ini turut menampilkan kelainan termasuk pameran lembu sado serta memperkenalkan buah nangka yang berasal dari Jempol iaitu sejenis nangka varieti baharu didaftar iaitu J41.
Katanya, selain gerai jualan dan pameran, aktiviti lain ialah pameran produk usahawan kraftangan, jualan promosi istimewa, Forum Perdana, demonstrasi masakan oleh chef terkenal dan muzikal adat perpatih. – UTUSAN










