Nelayan Vietnam berenang ke pelantar minyak minta bantuan - Utusan Malaysia

Nelayan Vietnam berenang ke pelantar minyak minta bantuan

DUA anggota Maritim Malaysia bertanyakan sesuatu kepada warga Vietnam yang diselamatkan oleh petugas Pelantar Lawit A di perairan Terengganu, Ahad lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Petugas Pelantar Lawit A di perairan negeri ini terkejut dengan kehadiran seorang nelayan warga Vietnam yang berenang menghampiri pelantar minyak itu,  Ahad lalu.

Lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai nelayan bertindak berenang ke pelantar minyak terbabit terletak kira-kira 73 batu nautika dari perairan Terengganu tersebut bagi meminta pertolongan.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Saufi Mohd. Ramli berkata, nelayan Vietnam itu dipercayai nekad terjun dari botnya sebelum meminta pertolongan dengan petugas Pelantar Lawit A.

“Motif lelaki berkenaan melarikan diri dari botnya itu masih belum diketahui. Dia telah diselamatkan oleh petugas pelantar minyak berkenaan.

“Mereka kemudiannya memberi rawatan awal dan makanan kepada nelayan Vietnam itu,” katanya di sini semalam.

Muhammad Saufi berkata, penemuan lelaki warga asing yang terjatuh di tengah laut tersebut kemudian dimaklumkan kepada Maritim Malaysia.

Tambah beliau, kapal peronda Maritim Malaysia telah mengambil nelayan Vietnam itu untuk dibawa ke Jeti Duyong Marina di sini kelmarin.

“Dia kemudiannya akan disoal siasat bagi mengetahui motif perbuatannya di Pejabat Maritim Terengganu di sini.

“Ini kali ketiga nelayan Vietnam terjun ke laut dengan dakwaan untuk menyelamatkan diri di perairan Terengganu sejak awal tahun ini,” jelasnya.

Muhamad Saufi berkata, setakat ini pemeriksaan kesihatan mendapati lelaki itu berada dalam keadaan sihat dan negatif Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN