KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan memberikan konsesi kepada Padiberas Nasional Berhad (Berhad) sebagai mengimport beras tunggal tidak bersifat berat sebelah kerana syarikat itu terikat dengan 10 tanggungjawab yang perlu dipikul.
Ini termasuk memastikan bekalan beras negara mencukupi dan sentiasa berada dalam keadaan stabil.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Ronald Kiandee menjelaskan, keputusan kerajaan itu tepat kerana Bernas juga bertanggungjawab membantu pesawah.
“Itu adalah keputusan tahun 2020 dan sekarang adalah lanjutan Bernas sebagai pengimport tunggal.
“Keputusan kerajaan itu tepat kerana Bernas dipertanggungjawabkan untuk memastikan bekalan beras cukup dan sentiasa berada dalam keadaan yang stabil.
“Konsesi dengan Bernas bukanlah berat sebelah kerana Bernas diminta untuk memenuhi 10 tanggungjawab, antaranya membantu pesawah-pesawah,” jelas Ronald di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson) yang mempersoal tindakan MAFI melanjutkan konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal beras di negara ini.
Kata Anwar, beliau membantah keputusan kerajaan yang meluluskan konsesi itu untuk 10 tahun lagi.
Pada sidang media selepas itu, beliau berkata kerajaan sepatutnya fokus membantu 150,000 pesawah dan peladang yang dikategorikan sebagai golongan paling miskin.
Datuk Mahfuz Omar (Amanah-Pokok Sena) turut mengkritik langkah kerajaan melanjutkann konsesi itu.
“Jadi, tidak wajar menyambung konsesi ini. Apa yang kerajaan harus lakukan adalah membantu petani dan mengangkat usahawan-usahawan petani,” katanya. – UTUSAN










