JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden PKR yang baharu, Rafizi Ramli mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini hanya bergantung dengan populariti UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyelamatkan diri daripada hukuman penjara.
Menurutnya, sebilangan besar ahli UMNO termasuk kepemimpinan tertinggi parti berkenaan juga tahu bahawa Ahli Parlimen Pekan itu bersalah, khususnya melibatkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lain-lain.
“Kita kena ingat Najib tidaklah popular sangat dalam UMNO, cuma dia rasa dia popular. Najib hanya akan mendapat sokongan kalau UMNO menang besar, kalau UMNO menang tipis dia dah susah. Kalau UMNO kalah, dia akan jadi ketua bilik darjah di Sungai Buloh (Penjara Sungai Buloh),” katanya pada ‘Fundraising Dinner’ yang diadakan di Taman Johor Jaya, di sini malam tadi.
Tambah bekas Ahli Parlimen Pandan itu, pembangkang khususnya PKR akan terus menggunakan skandal 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri itu sehingga bila-bila walaupun beliau bukan lagi pemimpin nombor satu negara.
“Ada orang UMNO, MIC dan MCA kata mengapa masih ‘sentuh’ isu Najib sedangkan dia bukan lagi Perdana Menteri. Saya jawab, sampai mati kita akan ‘sentuh’ dia kerana dia telah meninggalkan hutang sampai tiga, empat generasi belum tentu habis dibayar.
“Hutang 1MDB sebanyak RM53 bilion, kerajaan baharu selesai membayar sebanyak RM13 bilion, selain itu wang yang telah dikutip semula pula hanya sebanyak RM20 bilion.
“Ini bermakna rakyat Malaysia masih perlu menanggung hutang 1MDB sebanyak RM20 bilion. Najib dan Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor) masuk Sungai Buloh, sudah jadi kurus pun hutang berkenaan masih belum habis dibayar,” katanya.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 800 ahli dan penyokong PKR, termasuk Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh. – UTUSAN











