Murid SK Guar Jentik teruja tonton Mat Kilau - Utusan Malaysia

Murid SK Guar Jentik teruja tonton Mat Kilau

Seramai 80 murid SK Guar Jentik di Padang Besar yang menyertai rombongan untuk menonton filem Mat Kilau di Alor Setar, Kedah semalam.– UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Jentik di sini mengambil inisiatif membawa 80 murid sekolah itu menaiki bas untuk menonton filem Mat Kilau di panggung wayang di Alor Setar, Kedah semalam.

Kanak-kanak tersebut yang diiringi lapan guru mengikuti rombongan menonton wayang dengan menaiki dua buah bas yang disediakan.

Seorang murid, Alif Imran Ahmad Firdaus, 12, berkata, dia teruja mahu menonton karakter Mat Kilau, salah seorang pejuang yang namanya dicatatkan dalam buku teks sejarah.
Dia dan rakan-rakan pernah belajar mengenai tokoh-tokoh pejuang tanah air namun apabila cerita tersebut difilemkan, ia tentunya mempunyai kelainan dan tarikan tersendiri.

“Saya melihat sedutan filem Mat Kilau yang penuh dengan aksi di televisyen dan membuatkan kami merasakan filem tersebut menarik dan rasa tidak sabar ingin menonton. Saya sendiri memang minat sejarah terutama melibatkan pejuang tanah air yang berjuang melawan penjajah di Tanah Melayu,” katanya.

Pelepasan rombongan ber­kenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Ruzaini Rais.

Sementara itu, Guru Besar SK Guar Jentik, Jamaludin Abu Hassan berkata, inisiatif tersebut digerakkan panitia Sejarah di bawah unit kokurikulum sekolah berkenaan.

Katanya, program berkenaan turut mendapat sumbangan Pejabat Menteri Besar dan ADUN Beseri serta beberapa pihak lain, manakala peserta hanya perlu membayar RM20.

“Saya bersetuju sebaik mendengar cadangan pihak panitia Sejarah untuk melaksanakan program itu yang bertujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid-murid.

“Program seperti ini mengingatkan kita kepada perjuangan orang-orang terdahulu dan kita tidak mahu generasi akan datang buta sejarah kerana tanpa sejarah, kita tiada jati diri,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN