Menjayakan Keluarga Malaysia

Menjayakan Keluarga Malaysia

Komponen keluarga adalah amat penting dalam hidup seseorang kerana tidak ada manusia yang boleh hidup bersendirian. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada individu yang wujud di muka bumi ini tanpa sebuah keluarga. Komponen sebuah keluarga paling minimum terdiri daripada ibu, ayah dan anak. Keluarga adalah nukleus masyarakat dan negara.

Kita menyaksikan bagaimana Covid-19 yang melanda memberi impak yang besar kepada kebanyakan keluarga di seluruh dunia. Maka atas sebab itulah, idea Keluarga Malaysia dicetuskan sekali gus menjadi bukti komitmen kerajaan mengukuh dan memperteguh institusi keluarga pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia.

Pandemik yang mengakibatkan lebih enam juta kematian di seluruh dunia menyebabkan keterbatasan pergerakan manusia, ancaman ekonomi dan sekali gus mengancam keharmonian sosial masyarakat.

Penderaan fizikal dan emosi terhadap ahli keluarga dan kes bunuh diri juga meningkat sepanjang tempoh pandemik. Pandemik bukan sahaja memberi impak dahsyat kepada kesihatan, malah sistem ekonomi dan sistem sosial masyarakat dunia.

Justeru, setiap ahli masyarakat perlu berperanan memperbaiki dan memperkukuh institusi keluarga kita berdasarkan tiga teras tiga konsep teras Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Sosiologi keluarga adalah bidang yang mengkaji keluarga sebagai pusat institusi kehidupan sosial manusia. Institusi keluarga harus dipertahankan demi menjamin kelangsungan masyarakat manusia. Pope John XXIII menyatakan bahawa: “Keluarga adalah sel terpenting dalam masyarakat manusia”.

Desmond Tutu pula mengajak manusia menghargai keluarga dengan kata-katanya: “Anda tidak memilih keluarga anda. Mereka adalah anugerah Tuhan kepada anda, seperti mana anda juga adalah anugerah Tuhan kepada mereka”

Pandangan konservatif menyatakan bahawa keluarga mestilah terdiri daripada sekurang-kurangnya pasangan ibu dan bapa yang berkahwin dan mempunyai anak. Namun pandangan ini semakin berubah.

Perubahan bentuk institusi keluarga sejak abad ke-18 menjadi satu perdebatan besar di kalangan masyarakat Barat. Status perkahwinan ibu bapa bukan lagi menjadi satu perkara yang menjadi keutamaan.

Malah, masyarakat liberal mula menerima bahawa pasangan sesama jantina juga berhak untuk berkeluarga dan berhak untuk memiliki anak (anak angkat atau anak ibu tumpang). Ini semestinya bercanggah dengan konsep keluarga Islam, agama-agama lain dan budaya Timur yang masih bersifat konservatif.

Maka, atas dasar kecelaruan minda inilah, pentingnya kita mengadunkan konsep aqli (ilmu akal) dengan ilmu naqli (ilmu Tuhan atau ilmu wahyu) dalam menjayakan gagasan Keluarga Malaysia.

Keluarga moden hari ini mula memisahkan kepentingan agama dalam kehidupan. Selain itu, keluarga moden liberal juga sudah mula beralih kepada satu bentuk filo-centric family iaitu anak-anak yang menjadi dominan dalam institusi kekeluargaan.

Sebelum ini, ibu bapa mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan hala tuju sebuah keluarga tetapi bukan dalam filo-centric family.

Anak-anak yang menentukan bentuk pendidikan, cara hidup, pakaian dan makanan yang mereka mahu. Ini bermakna ibu bapa sudah tidak mempunyai kuasa veto dalam pembentukan peribadi anak-anak.

Jika diteliti, bentuk keluarga moden seperti ini jika tidak dikawal dengan baik akan menjadi cabaran besar kepada institusi keluarga kita yang pastinya berpasakkan agama.

Ibu bapa tidak lagi boleh memaksa anak-anak melakukan perkara yang penting untuk diri mereka apatah lagi melaksanakan sistem rotan dan denda yang dianggap kejam terhadap anak-anak.

Walau bagaimanapun, demi mencapai hasrat Keluarga Malaysia, perlulah kita meletakkan had dan sempadan yang perlu diikuti oleh setiap keluarga. Penting bagi kita memahami bahawa penjagaan institusi keluarga bukan sahaja sesuatu yang diterima oleh akal manusia biasa, malah pembentukan keluarga juga perlu memenuhi hukum Allah.

Hukum Allah juga turut menekankan kepentingan sesebuah institusi keluarga. Hukum akal manusia melalui ilmu sosiologi manakala hukum naqli adalah bersandarkan ilmu Allah SWT kepada Rasulullah SAW.

Berbuat baik kepada ibu bapa adalah tuntutan agama, sedangkan anak-anak di barat hanya taat kepada ibu bapa sehingga berumur 18 tahun sahaja. Apabila keluar sahaja anak-anak dari rumah ibu bapa, hubungan mereka sama seperti hubungan dengan manusia dewasa lain. Satu perkara yang sangat menyedihkan.

Penjagaan institusi keluarga juga adalah salah satu cabang hukum terbesar ilmu syariah yang disebut sebagai fikah kekeluargaan atau fiqh usrah juga disebut ahwal syakhsiyyah. Islam amat menitik beratkan penjagaan institusi kekeluargaan melalui pendekatan mawaddah dan rahmah.

Malah Rasulullah SAW dalam khutbah terakhirnya menekankan kepentingan menjaga ahli keluarga, anak-anak dan wanita.

Rasulullah menggesa umatnya menunaikan hak terhadap isteri dan anak-anaknya. Ini juga ditekankan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bergaullah dengan mereka dengan cara yang makruf. (al-Nisa’: 19)

Ulama mentafsir ayat ini sebagai wajib menggauli dan melayan isteri dengan baik. Imam Qurtubi dalam tafsirnya telah menyatakan bahawa ayat ini adalah perintah ditujukan khas kepada para suami. Para suami dan bapa yang bersikap kasar dan keras terhadap isteri dan anak-anak melakukan kezaliman yang nyata di dalam Islam.

Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap ahli keluarga. Dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarga. (Riwayat Ibn Majah).

Hubungan baik dengan ahli keluarga yang disebutkan oleh Nabi SAW merangkumi sifat kasih sayang, hormat-menghormati yang disebut sebagai asas utama Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman.

Keterangkuman akan terhasil apabila ahli keluarga saling hormat–menghormati dan kasih-mengasihi sesama mereka.

Kesimpulannya, untuk menyempurnakan konsep idea Keluarga Malaysia maka kita mesti berlandaskan pemahaman padu ilmu naqli dan aqli.

Manusia dikurniakan akal fikiran untuk membina institusi keluarga sejahtera demi tamadun bangsa. Namun dalam masa yang sama haruslah berpandukan garis panduan syariat Islam dan agama masing-masing kerana Rukun Negara kita yang pertama ialah Kepercayaan Kepada Tuhan. – UTUSAN

  • Dr. Yasmin Hanani Mohd. Safian, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Wanita MAIS
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN