KUALA LUMPUR: Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) menawarkan 50 peratus pengurangan yuran untuk semua tahap pengajian dari program Asasi ke Doktor Falsafah (PhD) bagi kemasukan pelajar tempatan semester September ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mediu yang baharu, Dr. Abdullah Saad A. Alarefi, pada masa ini hanya 20 peratus pelajar daripada jumlah 2,200 pelajar adalah rakyat Malaysia manakala selebihnya adalah pelajar antarabangsa daripada 90 negara serata dunia.
“Kami mahu rakyat Malaysia menjadi sebahagian daripada warga pelajar MEDIU kerana universiti yang wujud sebagai lambang kerjasama pendidikan dan hubungan erat Arab Saudi dan Malaysia adalah universiti tempatan bukannya universiti dari luar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.
Mediu yang sudah bertapak lebih sedekad di Malaysia berazam untuk menambah jumlah pelajar tempatan di universiti yang terletak di Desa Petaling Kuala Lumpur.
Mengenai nama Mediu yang sering disalah anggap sebagai cawangan universiti luar, ia disebabkan universiti tersebut diasaskan oleh cendekiawan dari Arab Saudi, dengan itu pihaknya mendapat kebenaran menggunakan nama Madinah sebagai melambangkan keagungan Islam.
Dr. Abdullah Saad, 50, yang berasal dari Arab Saudi menjelaskan, beliau akan menggunakan sepenuhnya pengalamannya dalam bidang undang-undang dan pentadbiran untuk memacu Mediu menjadi antara universiti tempatan yang menjadi pilihan orang Malaysia sendiri.
Mengenai program bahasa Arab di MEDIU beliau berkata, sewajarnya program tersebut disertai oleh bakal haji dan umrah bagi memudahkan mereka berinteraksi dengan masyarakat di Mekah dan Madinah.
“Insya-Allah kita akan mencadangkan kepada pihak berkuasa Haji termasuk agensi pelancongan untuk menggalakkan orang ramai menyertai kursus Bahasa Arab jangka pendek mahupun jangka panjang.
“Mediu sejak lebih 10 tahun telah melahirkan siswazah yang fasih berbahasa Arab di samping memiliki ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam bidang seperti teknologi maklumat, akaun dan lain-lain kursus,” katanya.
Beliau menambah, selain yuran pengajian yang berpatutan pihak MEDIU turut menyediakan biasiswa kepada pelajar yang cemerlang dan yang memerlukan bantuan.
Maklumat lanjut tentang program boleh didapati di laman web www.mediu.edu.my. – UTUSAN










