Masjid di Pahang laksana tabung bencana, bantu mangsa banjir Baling

Masjid-masjid Pahang laksana tabung bencana, bantu mangsa banjir Baling – Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masjid di seluruh negeri Pahang melaksanakan kutipan pada solat Jumaat kelmarin untuk disumbangkan kepada mangsa banjir yang terjejas di Baling, Kedah.

Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu adalah sebagai tanda solidariti atas musibah yang berlaku.

Ini setelah banjir itu meragut tiga nyawa, manakala lebih 1,400 penduduk pula terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan sementara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, baginda turut mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga tiga mangsa terbabit dan berharap seluruh keluarga bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar penduduk yang terjejas, khususnya mereka yang telah kehilangan kediaman, tabah dan sabar menghadapi dugaan yang berat ini.

“Seri Paduka Baginda menasihati penduduk di kawasan terbabit supaya sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga,” katanya menurut kenyataan Istana Negara.

Di sebalik bencana itu, Agong menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, kerajaan persekutuan, agensi kerajaan, petugas keselamatan, syarikat swasta dan individu yang mengambil tindakan segera membantu mangsa banjir.

“Seri Paduka Baginda menyeru kerajaan dan badan bukan kerajaan supaya menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana tersebut.

“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama baginda mendoakan agar Malaysia sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman dan musibah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya