KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 ekor lembu dikorbankan dalam Program Ibadah Korban Masjid Bukit Aman anjuran bersama Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) yang diadakan di Masjid Bukit Aman, di sini pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Negara ,Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau bangga dengan penglibatan anak muda termasuk mahasiswa dalam program korban yang diadakan dengan kolaborasi MyFundAction.
“Saya difahamkan sebanyak 15 ekor lembu dikorbankan dalam program ini, yang mana dagingnya akan diagihkan kepada rumah anak-anak yatim, para petugas program dan warga PDRM khususnya di Bukit Aman dan semua Ibu pejabat Polis Daerah di Kuala Lumpur.
“Hal ini amat bertepatan dengan hikmah di sebalik pensyariatan ibadah korban iaitu dapat mengeratkan silaturahim, di samping memupuk sikap timbang rasa dan prihatin terhadap masyarakat melalui pengagihan daging-daging korban kepada mereka yang berhak menerimanya, khususnya golongan yang memerlukan.
“Lebih membanggakan, kerja-kerja menyembelih, melapah sehinggalah memasak daging korban pada hari ini, telah disempurnakan oleh anak-anak muda sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi serta ahli gabungan MyFundAction selain warga PDRM Bukit Aman sendiri,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.
Tambah beliau, penglibatan golongan muda dalam program seumpama ini dapat memupuk sifat ringan tulang serta bersosial dalam konteks yang positif.
Malah katanya, ia juga bertepatan dengan tajuk Forum Khas Qurban yang telah diadakan di Dewan Masjid Bukit Aman sebentar tadi iaitu ‘Korban-Peranan Generasi Muda’.
Jelasnya, generasi muda bakal menjadi golongan pelapis yang akan menyambung legasi pentadbiran negara dan berperanan penting dalam memastikan nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikecapi kini kekal terpelihara.
“Justeru, pembentukan generasi pelapis yang berkualiti, memerlukan acuan yang tepat serta seimbang bukan sahaja dari aspek kemampuan intelektual semata-mata, tetapi juga pemantapan akhlak, sahsiah dan rohani,” ujarnya.
Jelas beliau, PDRM sentiasa mengalu-alukan sebarang tawaran kolaborasi kreatif dan strategik daripada mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO), sektor swasta dan badan korporat.
“Saya yakin, usaha sebegini bukan sahaja membawa kepada win-win situation kepada kedua-dua pihak, tetapi juga dapat menyuntik kesedaran dan keprihatinan segenap lapisan masyarakat terhadap peri pentingnya bersatu hati ke arah kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara,” katanya lagi. – UTUSAN










