Masih banyak jawatan guru Sabah tidak diisi - Shafie Apdal 

Masih banyak jawatan guru Sabah tidak diisi – Shafie Apdal 

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan digesa supaya menangani masalah pengambilan guru di Sabah menyaksikan kurang daripada 40 orang telah diambil bekerja tahun ini sedangkan terdapat lebih banyak perjawatan guru Sabah layak diambil di bawah skim perkhidmatan kontrak. 

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, proses mengambil bakal guru berasal dari negeri itu lebih mengurangkan kos berbanding mengambil langkah memindahkan guru dari Semenanjung untuk berkhidmat di negeri itu. 

“Tiada sebab mengapa guru-guru ini tidak diambil sebab ia akan menyelesaikan kerumitan perpindahan guru dari negeri-negeri lain ke Sabah, yang secara asasnya menanggung kos lebih tinggi. 

“Lebih-lebih lagi, kerajaan telah pun berjanji untuk menyokong nisbah guru tempatan berbanding guru bukan Sabah pada 90:10 di negeri ini. 

“Sangat memalukan walaupun dalam isu pendidikan tetapi kerajaan gagal memberi perhatian serius kepada Sabah. Mereka langsung tidak mendengar masalah yang dideritai oleh rakyat di sini,” katanya dalam satu kenyataan dihantar kepada Utusan Online semalam. 

Ahli Parlimen Semporna itu turut mempersoalkan mengapa rakyat Sabah tidak mendapat layanan sama seperti warganegara Malaysia lain di Semenanjung. 

“Bukankah kami (rakyat Sabah) juga rakyat Malaysia? Saya mahu, demi masa depan anak-anak negeri ini, selesaikanlah masalah ini untuk selamanya. Kita sedang membina sebuah negara,” katanya. 

Mohd. Shafie berkata, semasa mesyuarat dalam talian bersama bakal-bakal guru, mereka meluahkan rasa sedih dan kecewa selepas pengumuman pada 28 Mei lalu kerana hampir kesemuanya gagal diambil berkhidmat di bawah skim kontrak. 

“Walha, sebelum pengumuman itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr, Radzi Jidin berkata terdapat 2,400 kekosongan jawatan guru kontrak yang memohon pada 2021,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN