Malaysia julung kali dipilih anggotai jawatankuasa UNESCO

Malaysia julung kali dipilih anggotai jawatankuasa UNESCO

DELEGASI Malaysia meraikan kejayaan negara dipilih menganggotai IGC ICH pada Perhimpunan Agung UNESCO di Paris, Perancis. - FOTO/IHSAN MOTAC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kali terpilih menduduki kerusi dalam Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Kejayaan itu diraih dengan negara berjaya menjadi salah satu anggota Jawatankuasa Antara Kerajaan bagi Pemuliharaan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (IGC ICH) sesi 2022-2026.

Menurut kenyataan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di sini, pencapaian tersebut dilakar tidak sampai 10 tahun Malaysia baru meratifikasi konvensyen warisan itu pada 2013.

“Malaysia menang bertanding dalam Kumpulan IV untuk lima negara rantau Asia Pasifik dengan memperoleh 110 undi daripada keseluruhan 132 undi organisasi berkenaan,” katanya lagi.

Ini merupakan prestasi membanggakan kerana ia membuktikan kepakaran dan keupayaan Malaysia diiktiraf dunia dalam menentukan hala tuju warisan sejagat melalui jawatankuasa itu.

Kejayaan Malaysia diumumkan oleh Penolong Ketua Pengarah Kebudayaan UNESCO, Ernesto Ottone pada Perhimpunan Agung badan itu di ibu pejabatnya di Paris, Perancis kelmarin.

Sesi kesembilan itu menyaksikan delegasi Malaysia diketuai Ketua Setiausaha kementerian berkenaan, Datuk Saraya Arbi dan disertai para pegawai kanan dari Jabatan Warisan Negara.

Kenyataan itu menambah, tanggungjawab selaku anggota IGC ICH menuntut komitmen tinggi termasuk penyediaan garis panduan amalan terbaik perlindungan sejajar objektif konvensyen.

“Malaysia juga akan menilai pencalonan negara lain bagi pengiktirafan warisan tidak ketara, meluluskan program dan bantuan antarabangsa serta draf rancangan bagi UNESCO,” katanya.

Setakat ini ujarnya, enam elemen warisan tidak ketara dari Malaysia telah pun disenaraikan di bawah konvensyen itu bermula dengan persembahan tradisional Mak Yong pada 2005 lepas.

Ini diikuti tarian kebudayaan Dondang Sayang pada 2018, Silat (2019), Upacara Wangkang (2020) dan terkini yang berjaya diperakui oleh UNESCO pada tahun lepas iaitu pakaian Songket.

Kejayaan dipilih itu merupakan hasil kerjasama padu pelbagai pihak termasuk Kementerian Luar, Kementerian Pendidikan, Kedutaan Malaysia dan Pejabat Delegasi Malaysia di UNESCO.

Keberadaan Malaysia jelas kenyataan itu, di platform antarabangsa, dapat membantu dalam meningkatkan identiti dan visibiliti negara dalam warisan untuk dikongsi generasi akan datang.

Kementerian berkenaan turut mengajak seluruh Keluarga Malaysia agar berganding bahu dalam memulihara, memelihara dan melindungi warisan selaras Dasar Kebudayaan Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya