“Malaysia bukan berada planet lain, kos sara hidup fenomena global”

“Malaysia bukan berada planet lain, kos sara hidup fenomena global”

ISMAIL SABRI YAAKOB menerima cenderahati daripada Timbalan Presiden MTUC, Mohd Affendy Abdul Ghani pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan MTUC ke-42, di ibu negara hari ini. Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan (dua kiri) UTUSAN /SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan pihaknya tidak berpeluk tubuh dalam menghadapi isu kos sara hidup yang berlaku di seluruh dunia ketika ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai langkah dilaksanakan sama ada jangka pendek dan jangka panjang termasuk memberikan subsidi kepada penternak serta pemborong.

“Mengenai kos sara hidup, ini bukan berlaku di Malaysia, tetapi seluruh dunia. Kita Malaysia bukan berada di planet lain, kita dalam dunia sama dan saling berhubung berkaitan negara lain.

“Kita negara pengimport produk makanan. Contoh, ayam naik harga kerana bahan makanan daripada luar, kerana kita bukan pengeluar jagung dan kacang soya.

“Harga lain naik kerana fenomena global (apabila) dulu Covid-19, bila kita buka industri banjir besar dan selepas itu perang Rusia- Ukraine,.

“Walaupun kerajaan tahu fenomena global, kerajaan tidak berdiam diri dan umum (langkah) jangka pendek, sederhana dan panjang (yang melibatkan kerjasama) kerajaan negeri, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) serta Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Persidangan Perwakilan MTUC Kali Ke-42 di Auditorium Dewan Ungku Aziz, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya, di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, biarpun tidak berapa menyukai subsidi yang diperuntukkan sehingga RM700 juta, namun kerajaan tidak mempunyai pilihan.

Katanya, ini kerana subsidi barangan makanan seperti ayam bukan sahaja boleh dinikmati penduduk tempatan, tetapi juga termasuk rakyat asing yang berada di negara ini.

“Pekerja Bangladesh, Rohingya  dan tauke-tauke restoran besar beli serta makan ayam subsidi, (walhal) dari segi konsep subsidi untuk orang miskin dan rakyat kita.

“Tetapi untuk sekat kenaikan harga, kita beri subsidi dari apungkan yang mungkin boleh mencecah RM11 hingga RM12 sekilogram.

“Minyak masak juga masih subsidi untuk kegunaan rumah dan bukan kegunaan restoran, jadi sebenarnya cukup (kerana) minyak masak diberi subsidi sebanyak 60 tan metrik berbanding 55 tan metrik (yang dianggarkan) kegunaan rakyat.

“Oleh itu, (kalau) tak cukup sebab ada penyelewengan, jadi sebab saya beritahu Menteri  Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) gerakkan penguatkuasa,” ujarnya.

Mengenai inflasi, beliau berkata, inflasi di negara ini masih rendah pada kadar 2.8 peratus. 

“Inflasi rendah kerana kita beri subsidi bagi mengawal inflasi dan Kerajaan telah belanja RM77.7 bilion. Jika tidak diberi subsidi, inflasi mungkin boleh naik sehingga 11 peratus.

“Untuk pasti rakyat tak terbeban kerajaan tanggung sepatutnya beberapa produk (walaupun sepatutnya) tak perlu subsidi (kerana) kita berdepan (parti) politik mereka akan spin sebagainya,” jelasnya.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN