Lompat parti: Tunjuk kematangan, pelihara sistem demokrasi

Lompat parti: Tunjuk kematangan, pelihara sistem demokrasi negara

AHMAD Maslan (kanan) menyaksikan pertandingan karom pada Sukan Wanita UMNO Bahagian Pontian di Pontian, Johor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: UMNO optimis bahawa Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan larangan lompat parti akan mendapat sokongan semua Ahli Parlimen sama ada kerajaan, blok pembangkang dan bebas.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, setelah hampir 10 bulan dibincangkan dan kegagalan pembentangan bagi kali pertama sebelum ini sewajar dinoktahkan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula minggu depan.

Beliau yakin kesemua 41 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tiada masalah untuk memberikan sokongan terhadap RUU berkenaan.

“UMNO yakin semua pihak inginkan suasana politik yang stabil bagi membolehkan perjalanan sebuah kerajaan yang memenuhi kehendak dan harapan rakyat yang telah mengundi mereka.

“Tanpa mengira di blok mana sekali pun, RUU ini perlu diluluskan oleh Parlimen bagi membolehkannya diwartakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15  (PRU15 ) diadakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sukan Wanita UMNO Bahagian Pontian, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian, Hasrunizah Hassan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang.

Pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti bakal menjadi tumpuan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 yang akan berlangsung selama tiga minggu bermula Isnin ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan Rabu lalu, rang undang-undang itu dicadang untuk dibahaskan pada 27 dan 28 Julai ini, namun perkara tersebut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Setelah mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara, rang undang-undang itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan dan pewartaannya dijangka dilaksanakan antara 29 Ogos hingga 2 September depan.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjangkakan RUU tersebut mendapat sokongan wakil rakyat daripada parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan dan Bebas.

“Inilah masa dan saatnya untuk kita semua menunjukkan kematangan berpolitik serta memelihara sistem demokrasi  daripada terus tercemar dan dinodai oleh mereka yang meninggalkan parti asal dengan berhijrah ke parti baharu.

“Mereka itu sebenarnya telah mengkhianati mandat yang telah diberikan oleh pengundi yang telah memilih mereka sebagai calon di kawasan masing-masing tetapi yang berlaku sebaliknya,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN