PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki mengeluarkan kata berbaur ugutan dan lucah terhadap isterinya yang telah memfailkan cerai di mahkamah akhirnya ditahan.
Kejadian berkenaan pada 11 Julai lalu kira-kira pukul 9.15 malam di kediaman mangsa di Taman Muda, Ampang dekat sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa berusia 31 tahun itu telah didatangi suaminya dengan membuat bising di luar rumah dan memarahi mangsa kerana memfailkan permohonan cerai di mahkamah.
“Suami mangsa kemudian telah mengeluarkan ayat berbaur ugutan dan lucah kepada isterinya.
“Bertindak atas laporan, polis telah menahan suspek pada pukul 2.15 pagi ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohamad Farouk, semakan mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu lori itu memiliki tiga rekod lampau bersabit kes dadah.
Katanya, suspek berusia 32 tahun itu kini direman tiga hari sehingga Isnin untuk siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua- duanya sekali,” jelasnya. – UTUSAN