Lelaki rosakkan kubur, surau ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki rosakkan kubur, surau ditahan

BATU nisan yang dirampas daripada seorang lelaki yang disyaki merosakkan kubur dan surau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan kerana dipercayai melakukan khianat dengan merosakkan 10 buah kubur di Tanah Perkuburan Kampung Melayu dan sebuah surau di Kampung Majid awal bulan ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) menahan lelaki berkenaan di Taman Sri Impian pada pukul 12.15 tengah malam, 9 Julai lalu.

Katanya, lelaki berkenaan mengaku melakukan khianat tersebut kerana menerima bisikan untuk membuat tindakan berkenaan.

“Pihak polis merampas sebilah parang, empat naskhah al-Quran, 10 naskhah surah Yasin, sekaki payung berwarna merah dan seunit alat penyedut sampah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Turut dirampas beberapa batu nisan seramik berwarna hitam dan keemasan.

Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan reman selama tiga hari hingga semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Julai lalu, pihak polis menerima laporan daripada kakitangan Pejabat Agama Daerah Kluang mengenai kejadian khianat ke atas 10 buah kubur di Tanah Perkuburan Kampung Melayu dekat sini.

Pada 6 Julai pula, polis juga menerima laporan tentang kejadian memecahkan pintu cermin Surau Kampung Majid selain menyelerakkan sejadah serta rehal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN