MELAKA: Seorang lelaki memberi alasan kononnya tindakan ‘bermesra’ dengan seorang wanita menjadi punca dia positif dadah jenis methamphetamine, semata-mata ingin melepaskan diri daripada ditangkap di bawah Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Bagaimanapun, alasan itu gagal apabila juruteknik penghawa dingin berusia 25 tahun itu ditahan polis bersama seorang lagi lelaki berusia 50 tahun, sewaktu serbuan di sebuah pusat karaoke di Melaka Raya di sini, awal pagi tadi.
Operasi Bersepadu Khas Maksiat Kontinjen Melaka bermula pukul 12.30 tengah malam itu turut menyerbu tiga lagi premis hiburan sekitar Melaka Raya, dijalankan serentak diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, dalam operasi itu juga, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang bekerja sebagai penjaga pusat hiburan atas kesalahan mengambil pekerja asing tanpa permit sah.
“Lelaki berkenaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63, manakala empat wanita warga asing berusia antara 31 hingga 38 tahun melakukan kesalahan menyalahguna pas lawatan sosial serta permit.
“Mereka ditahan sewaktu bekerja sebagai pelayan di premis hiburan yang diserbu dan kesemua mereka dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zainol menambah, dalam operasi berakhir pukul 3.30 pagi itu, polis memeriksa seramai 312 pelanggan membabitkan 195 lelaki warga tempatan, 112 wanita tempatan serta lima wanita warga asing.
Beliau berkata, sepanjang Januari hingga Jun tahun ini, pihaknya melakukan 56 serbuan dan berjaya menangkap 195 individu.
“Sebanyak 42 orang berjaya dituduh di mahkamah manakala 13 lagi masih dalam peringkat siasatan bagi tujuan pertuduhan.
“Polis negeri juga telah melaksanakan 45 pemeriksaan ke atas premis hiburan, rumah urut (25) dan hotel-hotel bajet (25) bagi mengesan sebarang aktiviti maksiat dan individu-individu disenarai hitam,” jelasnya. – UTUSAN