KANGAR: Polis tidak menolak kemungkinan lebih ramai penyeludup akan berusaha membawa masuk biji benih ganja ke negara ini kerana ia lebih senang disembunyikan dan kurang berisiko berbanding membawa daun atau ganja yang sudah diproses.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, menyeludup pokok ganja melalui sempadan dan jalan tikus juga memerlukan kemudahan logistik bagi memastikan pokok sentiasa terdedah kepada cahaya matahari dan itu memungkinkan ia dilihat oleh penduduk tempatan.
Katanya, peningkatan aktiviti penyeludupan dadah adalah berdasarkan permintaan penagih-penagih tempatan dan apabila permintaan bertambah, penyeludup dan pengedar akan menggunakan pelbagai alternatif untuk membolosi sempadan negara.
Bagi penduduk tempatan pula, kata beliau, mereka mungkin akan cuba menanam pokok-pokok ganja secara persendirian dan menyemai anak-anak pokok untuk dijual kepada peminat dan penagih ganja tempatan.
Surina berkata, bagaimanapun perlu diingat menanam pokok ganja adalah satu kesalahan di bawah Akta Dadah Bahaya 1952 iaitu di bawah peruntukkan Seksyen 6B Akta sama.
Katanya, mana-mana individu jika disabitkan kesalahan akan dipenjarakan seumur hidup dan disebat tidak kurang daripada enam sebatan.
Ujarnya, jika memiliki dadah ganja melebihi 200 gram sekali pun boleh dituduh di bawah Seksyen 39B Akta sama dan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.
“Penyeludup dadah atau ganja ini sudah pasti akan berusaha mengurangkan risiko ditahan semasa melakukan aktiviti terlarang itu,” katanya.
Menurut Surina, jika penyeludup cuba menggunakan laluan laut, mereka memerlukan logistik yang besar iaitu kapal dan tekong, maka penyeludup akan memastikan dadah memberikan pulangan yang besar.
Ujarnya, penyeludup juga akan bersubahat dengan penduduk tempatan yang tinggal di kawasan sempadan untuk mengaburi kegiatan mereka. – UTUSAN










