Larang ahli Parlimen lompat parti bertanding pilihan raya lima tahun

Larang ahli Parlimen lompat parti bertanding pilihan raya lima tahun

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepanggar dari Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman menggesa kerajaan supaya tidak memotong perkara 48 (6) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan ahli Dewan Rakyat tidak boleh bertanding semula dalam pilihan raya selepas melepaskan keahliannya.

Beliau berkata, ia sebaliknya harus ditambah baik dengan memasukkan klausa ahli Parlimen yang melompat parti dilarang daripada bertanding dalam tempoh lima tahun.

Sebelum larangan itu dikuatkuasakan, katanya, perlu diwujudkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat punca ahli Parlimen melompat parti jika disebabkan menerima habuan atau dipecat akibat mengkritik kepemimpinan parti.

“Saya tidak bersetuju rang undang-undang ini disebut sebagai larangan ahli Parlimen bertukar parti atau anti lompat parti selagi kita memberi ruang walaupun secebis zarah kepada pelompat-pelompat ini menjalankan fungsinya sebagai pelompat.

“Hukuman sekadar hilang kerusi dan dibenarkan pula bertanding semula, dan adegan lompat melompat berulang semula jika pelompat ini masih tidak puas hati atau kerana nafsu poket belum terlunas, maka, ia sudah bertentangan dengan matlamat asal anti lompat parti,” katanya semasa perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Di dalam Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 pindaan dalam jawatankuasa, kerajaan bercadang meminda Perkara 48 dengan memotong fasal 6 bagi membolehkan mana-mana ahli Dewan Rakyat yang melepaskan keahliannya bertanding semula pada bila-bila masa selepas melepaskan keahliannya.

Justeru, kehilangan kelayakan menjadi ahli Dewan Rakyat bagi tempoh lima tahun tidak lagi terpakai.

Perkara 48 fasal 6 Perlembagaan menyebut: “Seseorang yang melepaskan keahliannya di Dewan Rakyat, hendaklah bagi tempoh lima tahun bermula dari tarikh pelepasan keahliannya berkuat kuasa, hilang kelayakan menjadi ahli Dewan Rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN