Setelah lama menyepi, Shahzmin kembali mewarnai industri muzik tanah air dan tampil dengan single terbaharunya berjudul Nana.
“Kira-kira 10 tahun lalu saya melancarkan single pertama bertajuk Pergi, namun ia gagal mendapat sambutan.
“Beberapa tahun selepas lagu itu, saya mula berani mengorak langkah mencari material untuk muncul kembali dengan lagu baru.
“Setakat ini, saya mengeluarkan lagu berjudul Menangis Dalam Hati (2019), Perisai Cinta (2020) Raikan Hari Raya (2021) dan terbaharu Nana,” katanya.
Walaupun gagal, dia tetap meneruskan perjuangan dan terus mencuba. Bagi Shahzmin, lambat dikenali bukan persoalan besar kerana itu semua bergantung kepada nasib atau rezeki.
Kini, dia tidak lagi meletakkan harapan tinggi untuk lagu-lagu yang dikeluarkan kerana tidak mahu menjadi seperti sebelum ini.
“Waktu itu saya terlalu muda, jadi terpaksa ikut apa orang lain tentukan. Tetapi bila sudah semakin meningkat usia, saya mula tahu dan faham apa yang diri sendiri mahu.
“Semuanya di tangan sendiri. Pihak pengurusan sekarang (Universal Music Malaysia) juga tiada masalah dengan karya-karya saya, mereka memberi kerjasama yang cukup baik.
“Lagu Nana dilancarkan pada 19 Mei lalu dan ia juga adalah hasil pertama kerjasama saya bersama komposer Akmalul Azmi (MKS) dan ia ditulis oleh kami.
“Lagu genre pop moden itu mengisahkan tentang seorang lelaki yang kehilangan orang yang dicintai kerana sikapnya yang tidak setia dan seterusnya menyesal,” katanya.
Shahzmin, 33, akui, menjadi seorang anak seni tidak mudah. Katanya, dia terpaksa berulang-alik dari Pahang ke Kuala Lumpur apabila ada sesi rakaman, persembahan dan sebagainya.
Namun begitu, dia tidak berat untuk menempuhi cabaran itu kerana minatnya yang mendalam dalam bidang ini.
“Saya terpaksa berkorban masa dan tenaga sebab saya suka buat apa yang saya suka tapi ia bukan untuk suka-suka,” jelasnya.
Melangkah ke hadapan, Shahzmin memberitahu dia mempunyai empat lagu pelbagai konsep untuk dilancarkan. Ia semua sudah direkodkan dan hanya menunggu masa sahaja untuk dikeluarkan.










