Khemah baharu jemaah Malaysia lebih selesa - Utusan Malaysia

Khemah baharu jemaah Malaysia lebih selesa

UMI Kalthum (kiri) bersama suami, Wan Izzuddin bin Wan Zaidi (kanan) bergambar selepas menunaikan umrah sunat dan solat dhuha berhampiran Baitullah - IHSAN UMi KALTHUM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jemaah haji pada tahun ini lebih bersema­ngat apabila mereka ditempatkan di kawasan penempatan khemah baharu berhampiran dengan masjid sepanjang ber­ada di Mina.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang jemaah dari Ampang, Umi Kalthum Hussin, 34, berkata, lokasi penempatan tahun ini memudahkan jemaah terutama melakukan solat kerana terletak berdekatan masjid.

“Penempatan baharu di Mina tahun ini walaupun jauh sedikit dari tempat melontar jamrah berbanding tahun lalu, tetapi kami ada keistimewaan lain ia­itu lebih hampir dengan Masjid Kuwait yang besar dan selesa.

“Ini memberi kelebihan kepada jemaah untuk menunaikan solat secara jemaah dengan lebih selesa di masjid berban­ding solat dalam khemah.

“Penempatan baharu juga lebih baik kerana lantainya berjubin dan jemaah dibekalkan tilam dan bantal,” katanya melalui aplikasi WhatsApp semalam.

Bagaimanapun, menurut wa­nita itu, dia tidak mengharapkan keselesaan sebaliknya lebih mahu diberikan kesihatan yang baik bagi menunaikan ibadah dengan selesa.

Terdahulu, media melaporkan jemaah haji tahun ini bakal menerima keistimewaan diberi penempatan baharu dan juga berhampiran dengan masjid sepanjang berada di Mina.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, tahun ini semua tapak di Arafah, Muzdalifah dan Mina adalah tapak baharu.

“Bagaimanapun, kemudahan dan kedudukannya masih lagi dalam suasana yang baik dan memberi kelebihan kepada jemaah haji Malaysia,” katanya.

Sementara itu, jemaah dari Salak Tinggi, Sepang, Ahmad Ainullutfi Azzman, 29, berkata, dia tidak mementingkan apa-apa keistimewaan sebaliknya menunggu dengan sabar hari tibanya wukuf di Arafah.

“Sangat mengharapkan syur­ga Allah dan dapat duduk bersama para anbiya,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN