KUALA TERENGGANU: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di sini, hari ini.
Mohd. Zuki yang merupakan anak jati Kampung Bukit Bayas di sini menganggap anugerah terbabit merupakan pengiktirafan dan penghormatan besar terhadap penjawat awam.
“Saya melahirkan rasa syukur kepada Allah dan merakam junjungan tinggi terhadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin atas penganugerahan ini.
“Apa yang penting, kita perlu menghayati tema sambutan Maal Hijrah pada tahun ini iaitu ‘Keluarga Malaysia, Pemangkin Kemakmuran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sambutan Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan kurnia berupa wang tunai RM20,000, plak, dan sijil penghargaan kepada Mohd. Zuki sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri.
Dalam pada itu, Mohd. Zuki menyeru orang ramai termasuk penjawat awam agar menghayati konsep tasamuh atau berlapang dada yang merupakan antara teras Keluarga Malaysia.
Tambahnya, sikap bertoleransi merupakan kunci perpaduan yang amat mustahak dalam kehidupan masyarakat majmuk rakyat Malaysia.- UTUSAN










