Ketengah keluarkan makanan 4,000 tan setahun

Ketengah keluarkan makanan 4,000 tan setahun

ABDUL Rahman Mohamad (barisan depan, tengah) dan Ahmad Said (barisan depan, lima dari kanan) bergambar bersama penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Dungun, hari ini. - FOTO/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) berupaya mengeluarkan makanan kira-kira 4,000 tan bagi menyokong strategi jaminan keselamatan makanan untuk negara pada setiap tahun.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pengeluaran makanan tersebut meliputi hasil tanaman, ternakan dan akuakultur.

Menurutnya, pada masa ini, seramai 508 usahawan tani meliputi 269 usahawan mengusahakan tanaman, 169 usahawan ternakan dan 70 usahawan akuakultur dalam kawasan Ketengah terlibat dalam pengeluaran makanan itu.

“Hasil makanan yang dikeluarkan usahawan itu bukan sahaja mampu menampung jumlah pengeluaran makanan untuk negeri ini dan dipasarkan ke luar negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang  2021 Ketengah di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Ahmad Said.

Pada majlis itu, seramai 29 orang warga Ketengah dipilih menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun ini.

Abdul Rahman memberitahu, strategi jaminan keselamatan makanan di bawah Ketengah  itu yang dimulakan sejak tahun lalu melibatkan strategi termasuk perancangan komprehensif pada masa hadapan.

Pada masa ini, katanya, ladang ayam pedaging yang diusahakan di bawah syarikat peneraju mampu menghasilkan 790,000 ekor ayam setahun dan menyumbang kepada 4.64 peratus daripada pengeluaran negeri Terengganu iaitu sebanyak 17 juta tan setahun.

“Ketengah juga sedang dalam proses untuk menyalurkan bantuan bagi penambahan reban ayam  di Kampung Chemuak, Kampung Durian Mentangau dan Seri Bandi yang mampu menambah pengeluaran ayam sebanyak 246,000 ekor setahun menjadikan keseluruhan sebanyak 1.03 juta ekor ayam setahun.

“Selain itu, ternakan ruminan seperti lembu pula mampu menghasilkan 850 ekor menyamai  33.4 tan setiap tahun manakala kambing dan kerbau masing-masing menyumbang pengeluaran sebanyak 200 ekor (0.45 tan setahun) dan 1,200 ekor (5.25 tan setahun),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN