SHAH ALAM: Keadaan kesihatan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan semakin merosot apabila beberapa jururawat memenuhi bilik utama kediamannya.
Jururawat-jururawat berkenaan kelihatan menyediakan peralatan untuk merawat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu.
Bekas Setiausaha Politiknya, Faekah Husin berkata, dia tidak sempat bertemu dengan Abdul Khalid apabila beberapa jururawat sedang menjalankan rawatan kepadanya sambil ditemani isteri, Puan Sri Salbiah Tunut.
“Semalam sempat ziarah. Masuk sahaja ke bilik, nampak isteri Abdul Khalid sedang duduk setia di sisi sambil memerhati beberapa jururawat yang sedang menyediakan alatan untuk memberi rawatan kepada beliau,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Tambahnya, ketika menziarahi Abdul Khalid, kedengaran ayat-ayat al-Quran dialunkan dibiliknya menyebabkan beliau berasa bertambah sayu dengan keadaan itu.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai mendoakan kesihatan Abdul Khalid, 75.
“Semoga teman sekalian turut merasa dan mendoa (kesihatan Abdul Khalid) serta mengaminkannya.
“Ya Allah, permudahkan segala urusan rawatannya. Kembalikannya kepada kami untuk kami sama-sama beribadah, bersujud dan beristighfar kepadaMu. Berilah yang terbaik untuknya di dunia dan di akhirat,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE










