KUANTAN: Statistik kemalangan jalan raya di negeri ini merekodkan 11,951 kes bermula Januari lalu sehingga semalam, iaitu meningkat berbanding 7,759 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam tempoh itu, kes kemalangan maut turut meningkat membabitkan 213 kes berbanding 156 tahun lalu.
“Peningkatan 4,192 kes kemalangan atau kenaikan 54 peratus tahun ini membimbangkan dengan jumlah 213 kes kemalangan jalan raya maut direkodkan tahun ini berbanding 156 kes tahun lalu manakala kemalangan mengakibatkan kematian ialah 247 kes berbanding 168 kes tahun lalu.
“Terdapat kes pengguna jalan raya yang tidak bersalah kehilangan nyawa kerana pemandu lain yang tidak bertanggungjawab di jalan raya.
“Polis sedang melihat pelbagai langkah untuk membantu mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya termasuk menganjurkan kempen kesedaran di seluruh negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ‘Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN)’ terhadap 261 bekas anggota polis di kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Galing, di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, polis sudah mengenal pasti lokasi-lokasi penunggang motosikal yang bergerak secara berkumpulan bagi 11 daerah di negeri ini.
“Polis akan bergerak ke lokasi untuk menangkap mereka yang terlibat dalam aktiviti lumba haram. Jika di Kuantan laluan utama termasuk Beserah, Balok, Bukit Rangin dan Tanjung Lumpur. Kita tidak mahu golongan belia terbabit dalam aktiviti lumba haram kerana kehadiran mereka boleh mengancam pengguna jalan raya lain.
“Bukan itu sahaja penglibatan mereka itu akhirnya boleh mengakibatkan kemalangan atau kehilangan nyawa. Kita tidak mahu kemalangan seperti yang berlaku di Georgetown, Pulau Pinang berlaku pula di sini,” katanya. – UTUSAN










