KOTA BHARU: Sikap rakyat Kelantan terutama anak muda yang sukakan cabaran membuatkan mereka memilih untuk merantau keluar meskipun terdapat banyak peluang-peluang pekerjaan di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sikap itu bukan sahaja dalam pekerjaan malah dapat dilihat menerusi bidang pengajian.
“Sebagai contoh di kampung saya (Panchor) ada sekolah tetapi ramai yang memilih hendak belajar di Kota Bharu. Dengan cara itu mereka boleh merasa naik bas, motosikal tetapi bila sekolah di tempat sendiri kena jalan kaki sahaja.
“Contoh lain lagi, di Kelantan ada Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) tetapi rakyat lebih suka memilih belajar di Kuala Lumpur mungkin sebab belajar di negeri sendiri tidak glamor,” katanya kepada pemberita selepas Program Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Kelantan di sini malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, perkara tersebut tidak hanya berlaku di Kelantan malah ia dapat dilihat di seluruh dunia dan satu kajian beberapa bulan lalu mendedahkan seramai 500,000 rakyat Malaysia telah bekerja di luar negara.
“Jadi kita nak kait macam mana, nak kata kerajaan Kelantan tidak pandai memerintah, tak sedia peluang? Tapi macam mana kerajaan Malaysia boleh sampai 500,000 (kerja di luar negara).
“Kerja (di Kelantan) ada, tetapi tiada tenaga kerja. Soal gaji rasanya tiada perbezaan yang banyak,” jelasnya. – UTUSAN










