Kereta terhumban dalam gaung, pelajar IPT sempat lompat keluar - Utusan Malaysia

Kereta terhumban dalam gaung, pelajar IPT sempat lompat keluar

KEADAAN kereta milik seorang penuntut IPT yang sempat melompat keluar selepas keretanya terjatuh ke dalam gaung di Gunung Medan, Kangar, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) berusia 22 tahun bernasib baik apabila sempat melompat keluar dari kereta ketika kenderaan tersebut terhumban ke dalam gaung di Gunung Medan, di sini semalam.

Kenderaan tersebut bergerak apabila lelaki berkenaan terlupa mengubah gear yang berada pada kedudukan gear satu ketika memasuki kereta berkenaan selepas selesai beriadah di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam yang enggan dikenali sekitar pukul 7.55 pagi.

Katanya, sewaktu tiba di lokasi, polis mendapati sebuah kereta jenis Proton Persona telah berada dalam gaung di gunung berkenaan yang terletak di sebelah kiri jalan.

“Penuntut IPT itu dikatakan telah meletakkan kenderaan di kiri jalan gunung terbabit dengan keadaan kepala kereta itu menghala ke bawah. Sebelum beriadah di kawasan tersebut, kereta itu masih berada pada kedudukan gear satu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Yusharifuddin, selepas mangsa selesai beriadah, dia kemudian kembali ke kenderaannya dan menghidupkan enjin dengan kedudukan pintu pemandu masih terbuka.

“Sebelah kaki mangsa berada di permukaan tanah ketika itu dan sewaktu menghidupkan enjin, kenderaan itu bergerak terus memasuki gaung berikutan berada pada kedudukan gear satu. Mangsa juga sempat untuk melompat keluar daripada kenderaan berkenaan dan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku,” katanya.

Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan buat masa ini.

“Kes ini diklasifikasikan di bawah Rule 10 LN166/59,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN