KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu membuat bayaran hutang sebanyak RM472.78 juta kepada kerajaan Persekutuan bagi tempoh Januari 2019 hingga Jun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak RM425.70 juta hutang tersebut dibayar pada tahun 2019 melalui pemotongan 25 peratus bayaran Wang Tunai Petroleum (WTP) diikuti RM31.86 juta pada tahun 2020 melalui potongan lima peratus WTP.
Katanya, pada 2021, kerajaan negeri membayar hutang sebanyak RM15.20 juta secara tunai.
“Baki pinjaman kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan setakat 30 Jun pula sebanyak RM267.09 juta,” katanya ketika menjawab soalan lisan Hilmi Harun (Pas-Manir) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, jumlah hutang tertinggi adalah untuk projek Rancangan Bekalan Air (RM226.7 juta) diikuti perumahan awam kos rendah (RM37.16 juta).
Katanya, hutang lain pula melibatkan projek-projek pembangunan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sebanyak RM3.2 juta.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Hilmi yang mahu tahu bebanan hutang berbanding hasil pendapatan kerajaan negeri pula, Ahmad Samsuri mengakui Terengganu menghadapi kedudukan fiskal yang mencabar untuk berbelanja terutama bagi membangunkan projek-projek baharu.
“Namun, kita masih berupaya menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan mengatur keutamaan dalam berbelanja dan berbelanja secara berhemah. Justeru, inisiatif seperti bantuan tunai untuk menyokong kewangan rakyat yang terjejas dapat disampaikan,” ujarnya. – UTUSAN