Kerajaan serius hapus miskin tegar 2025 - Utusan Malaysia

Kerajaan serius hapus miskin tegar 2025

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) bersama Ahmad Yakob (dua kiri) dan Annuar Musa (dua kanan) semasa merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan serius untuk menghapuskan miskin tegar dalam kalangan masyarakat di negara ini dan menyasarkan masalah tersebut dapat diatasi pada 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program Pembasmian Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) sedang diselaraskan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dalam merealisasikan hasrat itu.

Menurutnya, kerajaan akan menggunakan kaedah baharu secara holistik dengan melibatkan semua kementerian, agensi, swasta, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selain itu, kerajaan turut menggerakkan pemimpin tempatan untuk turut sama menjayakan hasrat ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Ismail Sabri memberitahu, kerajaan juga akan terus memberi perhatian dalam mengatasi kadar kemiskinan di negeri ini dengan memberikan peruntukan berjumlah RM124 juta di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Katanya, jumlah itu membabitkan hampir 590,000 penerima meliputi golongan isi rumah, bujang dan warga emas yang memerlukan.

“Kerajaan juga telah memberikan bantuan tunai tambahan berjumlah sehingga RM500 kepada golongan B40 dan sebahagian daripada M40.

“BKM merupakan bantuan tunai tertinggi dalam sejarah, dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN