KOTA KINABALU: Kerajaan negeri diminta campur tangan membela nasib kira-kira 80 penduduk Kampung Sinompuru, Sungai Simpang, Sandakan, dekat sini yang diusir keluar dari penempatan yang diduduki sejak 40 tahun lalu.
Wakil penduduk, Yulius Kasu, 70, berkata, mereka diberi arahan berpindah dalam tempoh tiga bulan sehingga September ini oleh sebuah syarikat perladangan yang mendapat hak pemilikan tanah berkenaan.
Katanya, memandangkan kawasan penempatan itu diteroka oleh mereka selaku penduduk asal kampung itu sejak tahun 1980an maka, diharapkan penempatan baharu diberi kepada mereka.
Jika boleh, mereka diberikan separuh daripada 423 ekar tanah yang telah dibangunkan untuk pertanian dan penempatan di kawasan berkenaan.
“Kami bertanya mana hak kami sebagai penduduk asal Sabah untuk menuntut tanah itu. Di manakah keadilan bagi kami semua yang sudah 40 tahun ada di sana? Maka, saya merayu kepada kerajaan supaya bersimpati dengan nasib kami.
“Berilah tempat sesuai kepada kami kerana kami tiada tempat lain untuk berteduh.. Kami bukan orang kaya, kami orang miskin yang cukup-cukup makan. Hasil tanaman sawit itulah pendapatan kami setiap hari,” katanya semasa perhimpunan aman di pekarangan Wisma Innoprise hari ini.
Menurut Yulius, sudah dua generasi keluarganya tinggal di situ namun permohonan geran yang mereka kemukakan tidak pernah diluluskan kerajaan. Malah, ada pemohon yang sudah meninggal dunia.
Sementara itu, Suen Balinting, 63, berkata, ibu bapanya sudah memohon geran tanah di situ sejak 1988 dan kali terakhir mereka memohon pada 2017 namun ditolak.
Kini, mereka diberi tempoh tiga bulan sejak Jun lalu untuk berpindah tanpa ada sebarang bantuan daripada pihak kerajaan untuk membantu memberi penempatan baharu.
Pada Jun lalu, empat rumah penduduk dirobohkan setelah syarikat berkenaan mendapat arahan mahkamah untuk menghalau penduduk berpindah.
“Kami harap kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah ini agar kami dapat bertahan di sana sehingga ke anak cucu,” katanya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim pula berkata, campur tangan kerajaan perlu bagi memastikan proses pengusiran penduduk kampung dapat ditangguhkan bagi membolehkan perbincangan dilakukan antara semua pihak terlibat.
“Kita meminta kerajaan memanggil syarikat dan wakil penduduk terlibat untuk berbincang tentang pampasan dan penempatan baharu. Jika kerajaan prihatin dan berperikemanusiaan bantulah penduduk di sini untuk meneruskan kehidupan dengan baik.
“Hari ini kami menyerahkan memorandum yang disampaikan kepada wakil kerajaan negeri iaitu Setiausaha Rendah (Operasi) Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Nordin Lossin dan beliau akan memanjangkan permintaan ini kepada Menteri KKTP, Datuk Seri Masidi Manjun untuk diadakan rundingan,” katanya.
Hadir sama ialah Penyelaras MHO Sabah, Jerry Jaimeh. – UTUSAN