SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan melalui Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyalurkan geran berjumlah sebanyak RM1.41 juta kepada badan pengurusan bersama (JMB) atau perbadanan pengurusan (MC) sebagai inisiatif membantu menguruskan skim perumahan strata.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan kewangan secara sekali beri (one-off) itu dijangka dapat membantu sebanyak 282 skim strata kos rendah di negeri ini termasuk dalam pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
“Kita semua maklum bahawa masalah yang sering melanda skim perumahan berstrata ialah kegagalan JMB/MC untuk memainkan peranannya bagi mengurus dan menyenggara harta bersama dengan baik.
“Hal ini merujuk kepada keengganan penduduk untuk memegang jawatan di dalam JMB/MC, masalah tunggakan yuran penyelenggaraan dalam kalangan penduduk, vandalisme terhadap harta bersama serta sikap lepas tangan pemaju di peringkat pengurusan JMB.
“Saya ingatkan kepada penerima-penerima geran pada hari ini supaya bersama-sama menghargai dan menjaga segala kemudahan yang diberi oleh kerajaan dengan sebaik-baiknya supaya kemudahan yang disediakan dapat digunakan dalam jangka masa yang panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Geran Kepada JMB/MC Bagi Tahun 2022 MBS di sini hari ini.
Sementara itu, Aminuddin berkata, MBS giat memberi kesedaran kepada masyarakat umum terutamanya kepada penduduk di skim perumahan berstrata berkenaan kepentingan pembentukan atau penubuhan JMB atau MC.
“Bangunan bertingkat atau berstrata yang pesat membangun umpama cendawan yang tumbuh selepas hujan ini serta boleh diklasifikasikan sebagai bangunan pencakar langit tidak memberi apa-apa makna sekiranya tidak ditadbir dan diurus dengan cekap dan diselenggarakan secara bersistematik.
“Justeru, MBS sentiasa memantau penubuhan JMB atau MC bagi skim perumahan berstrata di bawah pentadbirannya melalui perkongsian data skim pemajuan berstrata yang baharu daripada Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta dan penerimaan aduan secara berkala,” katanya. – UTUSAN










