Keluasan hutan perlindungan di Negeri Sembilan akan ditambah

Keluasan hutan perlindungan di Negeri Sembilan akan ditambah

BAKRI Sawir (tengah) menyampaikan sijil pelantikan kepada salah seorang juru pandu Gua Batu Maloi sambil disaksikan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaludin (kanan) di Taman Eko Rimba Batu Maloi, Kuala Pilah, hari ini. - FOTO/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Jumlah keluasan hutan perlindungan di Negeri Sembilan akan dipertingkatkan jumlahnya daripada keseluruhan 155,102 hektar keluasan hutan simpanan sedia ada di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, jumlah tersebut akan ditingkatkan dari semasa ke semasa yang sekali gus juga dapat membantu memajukan sektor ekopelancongan seperti dihasratkan kerajaan negeri.

“Hutan simpanan di Negeri Sembilan masih dapat dikekalkan pada keluasan 155,102 hektar bersamaan 23 peratus daripada keluasan negeri ini. Daripada keluasan itu 60 peratus berfungsi sebagai hutan pengeluaran.

“Sejumlah 40 peratus daripadanya pula dijadikan sebagai hutan perlindungan. Namun tidak lama lagi fungsi hutan itu akan diperkemaskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan untuk meningkatkan jumlah keluasan hutan perlindungan kepada 60 peratus dan baki sebagai hutan pengeluaran.

“Dengan keluasan baharu hutan perlindungan itu akan dapat memudahkan hasrat kerajaan negeri untuk memajukan sektor pelancongan alam semula jadi secara lebih agresif,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Jurupandu Gua Batu Maloi di Taman Eko Rimba Batu Maloi, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 15 individu menerima sijil jurupandu Gua Batu Maloi daripada pihak Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan.

“Adanya jurupandu gua yang diiktiraf ini merupakan langkah ke hadapan yang diambil oleh pihak Jabatan Perhutanan negeri. Mereka ini pastinya dapat mengurus aktiviti secara lebih efektif di samping mengoptimumkan keselamatan pengunjung mengikut prosedur operasi standard meneroka Gua Batu Maloi yang telah disediakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN