Kelantan tidak terpinggir dalam pembangunan - PM - Utusan Malaysia

Kelantan tidak terpinggir dalam pembangunan – PM

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) diiringi oleh Ahmad Yakob semasa hadir ke majlis Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiga projek yang sedang dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di kawasan Tok Bali, Pasir Puteh dijangka memberikan impak besar kepada kegiatan ekonomi di negeri ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga projek tersebut iaitu Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi pelabuhan Tok Bali dijangka mampu menyumbang pelaburan sebanyak RM2.3 bilion.

“Projek ini juga dijangka membuka peluang pekerjaan baharu kepada 4,200 penduduk. Bukan itu sahaja, ia turut membuka 270 peluang keusahawanan untuk penduduk tempatan.

“Selain itu, projek laluan jalan raya di bawah pakej Central Spine Road (CSR) sepanjang 191 kilometer (km) membabitkan kos RM7.7 bilion bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah mampu meningkatkan lagi sosioekonomi penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada majlis Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Ismail Sabri memberitahu, projek CSR yang bermula dari Gua Musang hingga Kuala Krai itu dijangka siap pada 2026.

Katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turut memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion melibatkan 88 projek yang merangkumi 64 projek sambungan dan 24 projek baharu di negeri ini.

“Kelantan turut memperoleh manfaat daripada Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kota Baharu ke Pelabuhan Klang melibatkan jaringan kawasan 43.86 km.

“Selain itu, ia mempunyai dua stesen iaitu stesen penumpang dan kargo di Pasir Puteh dan stesen penumpang di Tunjong, Kota Bharu,” jelasnya.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, bidang kesihatan untuk kemudahan rakyat Kelantan tidak dilupakan apabila sebanyak 12 projek pembinaan klinik kesihatan serta kuarters dijangka siap dibina pada tahun ini.

Katanya, dua lagi projek dalam pembinaan iaitu di Gua Musang dan Hospital Bachok yang merangkumi 76 buah katil turut dijangka siap tahun hadapan.

“Pembinaan Jambatan Palekbang di Tumpat akan menjadi pemangkin kepada pembangunan baharu pula dijangka siap pada 2025. 

“Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang sedang dinaik taraf mampu menampung kapasiti penumpang daripada 1.5 juta kepada 4 juta setahun juga dijangka siap 2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya