KOTA BHARU : Kelantan menduduki tangga ‘tercorot’ dalam carta menderma darah apabila hanya 1.7 peratus atau 17 orang daripada 1,000 individu yang menderma darah berbanding negeri-negeri maju seperti Johor, Pulau Pinang dan Selangor.
Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Datuk Dr. Zaini Husin berkata, hasil data Pusat Darah Negara (PDN) menunjukkan ketiga-tiga negeri ini merekodkan penderma darah antara 40 hingga 50 orang daripada 1,000 yang berbuat demikian.
Menurutnya, takut, sakit dan gemuk antara faktor yang mempengaruhi orang ramai untuk tidak berbuat demikian.
“Malah kita mendapati ada dalam kalangan orang awam hanya akan menderma darah apabila berlaku sesuatu kecemasan melibatkan keluarga mereka.
“Bagaimanapun setakat ini Kelanan tidak berdepan ‘krisis’ kekurangan bekalan. Pelbagai program untuk menarik orang ramai menerima darah telah digerakan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya kepada pemberita sempena Hari Menderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Kelantan di sini hari ini.
Dr. Zaini memberitahu, setiap hari sebanyak 150 hingga 200 beg darah diperlukan untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.
Katanya, orang ramai disaran supaya terus menderma darah demi menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.- UTUSAN










