KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM5 juta untuk pembelian kemudahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha menjaga kebersihan di negeri ini pada tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, peruntukan tambahan itu membolehkan kerajaan negeri membeli lori sampah untuk kegunaan PBT dan menambah baik sistem sedia ada.
“Insya-Allah jika peruntukan ini lulus, Kelantan akan mendapat bajet keseluruhan sebanyak RM16 pada tahun depan.
“Kita (kerajaan negeri) mengambil serius perkara ini bagi memastikan tahap kebersihan berada pada tahap memuaskan,” katanya selepas merasmikan pelancaran Kelantan Sihat Weight Loss Challenge 2022 di jalan Sultan Yahya Petra, di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu memberitahu, kerajaan turut kadangkala membantu menyelenggara rumput dan lalang di jalan-jalan Persekutuan di negeri ini.
Katanya, bagaimanapun kerja-kerja tersebut memerlukan peruntukan lebih.
“Kita buat kerja dalam skop kerajaan negeri, kita tak mampu untuk jaga semua kerana kos tinggi dan jalan Persekutuan jauh lebih banyak, panjang dan besar,” jelasnya. – UTUSAN










