Kelantan ketinggalan 30 tahun dalam sukan

Kelantan ketinggalan 30 tahun dalam sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengakui sudah ketinggalan 30 tahun dalam pembangunan infrastruktur serta kemudahan sukan berbanding negeri lain di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, perkara ini perlu diberikan perhatian memandangkan Kelantan bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2026 nanti.

Menurutnya, susulan itu Kelantan telah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mewujudkan Kompleks Sukan Komuniti (KSK) di setiap jajahan  sebagai persediaan Sukma.

“Permohonan tersebut sudah disenaraikan dalam Rancangan Boleh Pinda (Rolling Plan) kedua dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) termasuk juga kemudahan-kemudahan lain.

“Setakat ini Kompleks Sukan Bandar Jeli sudah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM28.59 juta dan akan dibina tidak lama lagi,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong daripada Pas Rozi Muhamad pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kali ke-14 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Wan Roslan memberitahu, pihaknya berharap KBS dapat memberi lebih perhatian kepada Kelantan pada bajet akan datang.

Katanya, setakat ini kerajaan telah meluluskan projek pembinaan padang bola sepak yang baharu di Mukim Teluk Mesira dalam kawasan DUN Tawang dengan perbelanjaan berjumlah RM500,000 untuk sukan bola sepak.

“Turut diluluskan adalah satu projek naik taraf padang bola iaitu di Padang Perdana, di sini, dengan kos RM500,000. Pihak KBS telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk kerja-kerja naik taraf di Stadium Sultan Muhammad IV.

“Saya juga telah dipanggil oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 14 Julai lalu untuk memuktamadkan pembinaan Kompleks Sukan Bukit Merbau,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya