KOTA BHARU: Para penyeludup minyak masak peket bersubsidi menjadikan Kelantan sebagai hab pengumpulan minyak sebelum memasarkannya ke negara jiran dengan mengaut untung sehingga RM25,000 sebulan.
Itu antara modus operandi segelintir ‘tauke’ minyak masak yang dikatakan memborong lebih 1,500 tan metrik bahan subsidi tersebut dari luar negeri ini bagi sekali perjalanan.
Maklumat itu diperoleh hasil siasatan dan temu bual wartawan Utusan Malaysia dengan beberapa penyeludup yang aktif menjalankan kegiatan itu sejak bertahun-tahun lamanya.
Harga minyak masak peket bersubsidi Malaysia di Thailand adalah sekitar RM6.50 hingga RM7 berbanding RM2.50 bagi setiap sekilogram bagi pasaran di negara ini.
Kerja-kerja membawa keluar minyak masak itu akan diuruskan oleh ‘tentera-tentera’ semut dari negeri ini melalui pangkalan-pangkalan haram sempadan sini.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, seorang penyeludup yang dikenali sebagai Imie berkata, dalam pengetahuannya, terdapat lima tauke terlibat melakukan kerja-kerja tersebut.
Katanya, semua minyak masak paket itu dibeli secara tunai oleh tauke bagi memastikan gerak kerja itu berjalan lancar.
Ujarnya, sebelum minyak masak peket itu diangkut ‘pasukan tinjau’ akan membuat pemerhatian untuk melihat situasi semasa sama ada terkawal atau sebaliknya.
“Sebaik sahaja semuanya terkawal barulah saya dan rakan-rakan yang mengambil upah akan mula menjalankan tugas masing-masing dengan bahan mentah itu terus ke kawasan pangkalan-pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.
“Sejurus sampai di lokasi yang telah ditetapkan saya akan meninggalkannya di kawasan pangkalan haram Selepas itu, tentera semut dari Thailand akan ‘melarikan’ barangan subsidi itu masuk ke negara mereka menggunakan bot enjin galah,” katanya.
Imie memberitahu, bagi memastikan barangan itu ‘selamat’ tiba di lokasi dia akan menggunakan laluan berbeza-beza setiap hari.
Katanya, kenderaan yang digunakan turut ditukar-tukar bagi mengelakkan taktik tersebut dihidu anggota penguat kuasa.
“Saya akui kawalan pasukan keselamatan di sempadan amat kuat sehingga memberikan kesukaran kepada buat kami. Seboleh-bolehnya kami mahu ‘lolos’ daripada kawalan pasukan keselamatan.
“Sebab itulah setiap pergerakan diatur dengan sebaik mungkin, kalau ‘terperangkap’ kami lebih rela meninggalkan barangan bersubsidi untuk melarikan diri,” katanya.
Sementara itu, Man, 39, mendedahkan dia ada ‘mencuri’ dengar perbuatan di antara tauke minyak yang memberitahu bahan subsidi itu dibeli melebihi kuota menggunakan alasan permintaan terlalu tinggi.
Katanya, bagaimanapun sedikit sahaja dijual mengikut saluran sebaliknya diseludup ke negara jiran kerana pulangan lebih lumayan.
“Itu sahaja yang saya tahu…selebihnya sebagai ‘tentera semut’ tidak perlu banyak kerenah. Sebaliknya fokus menjalankan tugas kerana terus dapat upah sejurus kerja selesai.
“Ada orang tanya kenapa buat kerja ini, terus terang saya cakap…ia kerja warisan daripada keluarga. Lagipun kerja ini mudah dan upah yang diberikan lumayan berbanding sebagai buruh binaan,” ujarnya.
Man berkata, dia hanya menyeludup barangan kontraban dan subsidi kerana jika tertangkap hukuman yang dikenakan tidak terlalu berat.
“Sebagai persediaan, saya ada menyimpan wang sebagai persiapan jika berdepan masalah di kemudian hari,” katanya. – UTUSAN










