KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meningkatkan pemantauan di kawasan-kawasan tumpuan yang menjadi transit untuk sindiket penyeludupan bekalan minyak masak bersubsidi.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya akan meningkatkan pemantauan di Kelantan yang didakwa menjadi hab kepada kegiatan tersebut sebelum ia dipasarkan ke negara luar.
Menurut beliau, selain Kelantan, pemantauan juga akan dilakukan di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara luar seperti Sabah, Perlis dan Kedah bagi membanteras kegiatan penyelewengan bekalan minyak masak negara.
“KPDNHEP akan tingkatkan pemantauan, kerana banyak laporan mengatakan aktiviti penyelewengan tersebut berlaku di negeri-negeri seperti Kelantan dan negeri yang bersifat bersempadan dengan negara luar.
“Usaha KPDNHEP sudah lama bermula, cuma ia akan dipertingkatkan. Kita juga berkolaborasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebagainya. Jadi usaha-usaha penguatkuasaan kita dipertingkatkan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pra Pelancaran Karnival Barangan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, para penyeludup minyak masak peket bersubsidi menjadikan Kelantan sebagai hab pengumpulan minyak sebelum memasarkannya ke negara jiran dengan mengaut untung sehingga RM25,000 sebulan.
Itu antara modus operandi segelintir ‘tauke’ minyak masak yang dikatakan memborong lebih 1,500 tan metrik bahan subsidi tersebut dari luar negeri ini bagi sekali perjalanan
Dalam perkembangan lain, Alexander memaklumkan operasi audit dan pemutihan pengeluar serta premis minyak masak sedang berjalan serta terdapat perubahan, namun, ia memerlukan masa kerana terdapat banyak syarikat.
“Apabila kita lakukan kerja-kerja pemutihan ini, kita perlu terliti tak boleh sia-sia sahaja supaya penemuan kita nanti tepat dan boleh lakukan langkah-langkah seterusnya.
“Antara kriteria dilihat adalah melalui pemberian kuota. Sebagai contoh, jika sesebuah syarikat mendapat kuota pembungkusan 400 tan minyak bersubsidi, tetapi kapasiti mesinnya tidak boleh mengeluarkan sama banyak dengan kuota itu.
“Jika ia kurang, kemanakah bakinya? Itu yang kita lihat juga. Dapatan akan dibentangkan selepas selesai kerja pemutihan ini, ia makan masa sedikit sebab kita nak ia dibuat dengan adil dan tepat,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE