JOHOR BAHRU: Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah bahawa kekayaan Sultan Johor dan Sultan Selangor adalah menerusi pelbagai penglibatan mereka dalam aktiviti korporat.
Titah baginda, kekayaan berkenaan bukanlah hasil daripada monopoli beras, gula, tepung, lesen import (AP), kuota, kontrak kerajaan atau konsesi swasta.
“Ini bukan sebagaimana yang dilakukan oleh kroni-kroni kepada mereka yang berkuasa sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri pada 1981 dan selepas (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada 1982.
“Mungkin kerajaan ada membayar gaji kepada 10 Raja-Raja Melayu. Tetapi seperti apa yang dikatakan oleh Sultan Johor, sejak 1899 Kesultanan Johor telah mendermakan wang itu kembali kepada rakyat, lama sebelum pembentukan Malaya pada 1948 dan ketika British masih lagi menjajah Kepulauan Melayu,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Rabu lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim melahirkan kebimbangan kecenderungan sultan terlibat aktif dalam perniagaan atau perusahaan komersial sejak akhir-akhir ini boleh menimbulkan pelbagai persepsi atau tuduhan tidak baik terhadap institusi diraja.
Menurut Hassan, kebenaran atau melarang sultan terlibat dalam perniagaan masih terikat dan tertakluk terhadap perlembagaan negeri atau Undang-undang Tubuh Negeri masing-masing.
Mengulas lanjut, Tunku Ismail bertitah, Sultan Johor sebelum ini sudah memperbetulkan penipuan yang didakwa dilakukan oleh bekas Perdana Menteri sebelum ini.
“Sultan Johor telah memperbetulkan penipuan yang diputarbelitkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak 30 tahun dahulu, pada awal 1980-an yang mengatakan bahawa 10 Raja-Raja Melayu adalah lintah yang menghisap duit rakyat sehingga kering.
“Setiap wang yang diterima daripada elaun sultan disalurkan baginda ke tabung bantuan sejak tahun 1899 yang dilakukan Kesultanan Johor. Ini dilakukan sejak dari pemerintah kedua, Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1899, telah mendermakan semua elaun peruntukan kerajaan negeri kepada tabung untuk mereka yang memerlukan,” titah baginda.
Amalan itu diteruskan hingga zaman Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail apabila semua elaun disalurkan ke dalam Yayasan Sultan Iskandar.
“Ia juga menyatakan bahawa ketika Almarhum Sultan Iskandar menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan dari 1984-1989, elaun yang diterima baginda daripada kerajaan Persekutuan juga telah disalurkan kepada yayasan tersebut.
“Yayasan Sultan Iskandar bukan hanya membantu mereka yang susah, malah juga memberikan bantuan ketika bencana alam dan memberikan dana untuk pendidikan. Peruntukan untuk Yayasan Sultan Ibrahim pula adalah hasil derma daripada elaun yang diterima Sultan Ibrahim,” titah baginda. – UTUSAN











