PETALING JAYA: Taktik empat lelaki meronda dengan motosikal pada awal pagi sebelum menyamun bangunan kedai terbongkar selepas ditahan di Jalan Pasir Emas, Sungai Chua, Kajang, hari ini.
Kesemua suspek berusia 29 tahun hingga 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.15 pagi susulan polis menerima maklumat berkaitan kes samun dan pecah kedai di Jalan Lingkaran Tengah 2, Kuala Ampang, di sini, pada 4 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil risikan dan maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya membuat tangkapan ke atas empat lelaki.
“Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek pertama mempunyai empat rekod jenayah, suspek kedua (tiga rekod jenayah), suspek ketiga (satu rekod jenayah) manakala suspek keempat (tujuh rekod jenayah).
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Julai ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Farouk berkata, penahanan mereka dipercayai berjaya menyelesaikan tiga kes di Ampang Jaya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” jelasnya. – UTUSAN










