Kartel jual ikan tengah laut

Kartel jual ikan tengah laut

kartel ikan
Bekalan ikan untuk pasaran tempatan berkurang kerana kartel menjualkan sebahagian tangkapan di tengah laut. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain gergasi industri perikanan yang menjadi orang tengah dan memonopoli sektor tersebut turut menjalankan ke­giatan menjual hasil tang­ka­pan kepada nelayan asing di te­ngah laut demi me­ngaut untung berlebihan.

Ia disahkan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fa­sal kepada Utusan Malaysia, yang berkata, pihaknya sudah mengesan kegiatan tersebut sejak dahulu dan aktiviti yang sama masih berleluasa sehingga hari ini.

Kartel-kartel itu yang me­nguasai bot-bot besar ‘mengu­tip’ hasil tangkapan nelayan bot-bot kecil di laut sebelum dijual di pasaran negara jiran se­­perti Singapura, Indonesia, Thai­land dan Vietnam tanpa di­bawa ke darat.

Kegiatan ‘jual beli’ secara ha­ram dengan peraih asing berlaku di tengah laut sama ada hasil perikanan itu terus di bawa ke perairan negara luar atau sudah ada kapal-kapal asing ‘me­nunggu’ di persempadanan laut.

Kata Syed Abu Hussin Hafiz, memang wujud kegiatan oleh nelayan-nelayan bot besar itu, yang mendaratkan ikan di negara-negara lain.

“Malah ada juga aktiviti yang dikesan, berlaku penjualan (ha­sil tangkapan) di tengah-tengah lau­t, namun kita tiada maklumat sebanyak mana jumlah tangkapan yang terlibat,” kata­nya semalam.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa mewujudkan insentif pen­daratan ikan, iaitu sebanyak 10 sen sekilogram, ba­gi menggalakkan nelayan men­daratkan ikan ke pelantar-pelantar milik LKIM.

“Kaedahnya, kita mahu meng­­galakkan supaya ikan itu didaratkan di pelantar LKIM.

Dengan cara itu, kita dapat kawal dan kita dapat tahu berapa jumlah pendaratan ikan pada satu-satu masa yang ma­suk ke dalam pasaran negara,” katanya.

Sementara itu, sumber memberitahu Utusan Malaysia, kira-kira dalam kalangan 35,000 nelayan asing yang bekerja sebagai tekong atau awak-awak bot besar tempatan dipercayai menjadi ‘keldai ikan’ melakukan kegiatan itu.

Ini termasuk dalam kala­ngan nelayan tempatan turut bersekongkol sebagai tali barut asing sanggup makan ‘dedak’ menjarah hasil ikan negara sendiri.

“Kartel-kartel ini di tengah laut sudah buat kerja. Mereka sudah siap-siap bungkus ikan untuk dijual kepada pasaran antarabangsa tanpa perlu mendaratkan ikan itu.

“Bila sampai jeti mereka hanya isytiharkan hasil tangkapan 50 peratus sahaja, kerana 50 peratus lagi sudah dijual kepada asing. Sebab itulah kita tak cukup ikan dan buat alasan bekalan kurang kononnya atas faktor cuaca dan sebagainya,” katanya di sini semalam.

Sumber berkata, kemasukan warga asing untuk bekerja sebagai tekong dan awak-awak bot laut dalam tempatan boleh menjadi faktor pencerobohan bot nelayan asing ke perairan negara.

Perkara ini bukan cakap kosong kerana ia terbukti apabila negara pernah kehilangan sejumlah RM6 bilion hasil laut negara akibat dirompak nelayan asing.

Mengikut rekod Agensi Pe­nguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), lebih 1,000 bot nelayan asing kebanyakannya nelayan Vietnam ditahan ke­rana menceroboh perairan negara selepas didapati menangkap ikan secara haram dikesan sejak 2006.

Jelas sumber, kegiatan itu amat mengecewakan apabila bot-bot besar ini menggunakan minyak bersubsidi yang ditanggung kerajaan tetapi mencuri pula hasil negara.

Lebih parah, tidak menolak kemungkinan ada antara nelayan tempatan sendiri menjual minyak diesel bersubsidi untuk mendapatkan wang tunai.

Untuk itu, sumber berkata, pelbagai aspek perlu dilihat bagaimana pencerobohan bot nelayan asing boleh berlaku sama ada terdapat penyalahgunaan sesetengah permit untuk memasuki perairan Malaysia dengan ‘bantuan’ awak-awak asing yang bekerja di negara ini.

“Jadi kita minta LKIM atau Jabatan Perikanan perincikan data 35,000 nelayan asing ini? Jumlah ini sangat banyak, hampir separuh daripada nelayan tempatan. Jumlah ini disebut oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) sendiri.

“Perkara ini sangat serius dan perlu dibanteras pihak berwajib. Bukan sahaja tindakan penguatkuasaan, tetapi perlu ada mekanisme bagi menghalang pengkhianat yang bersekongkol dengan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN