PETALING JAYA: Pengarah filem Don Dukun, Waan Hafiz, mendedahkan rumah yang sesuai menjadi faktor mengapa Kota Bharu, Kelantan dipilih sebagai lokasi pengambaran bagi filem terbaharu itu.
Menurut Waan, pemilihan rumah agam di negeri itu dibuat selepas pihaknya gagal menjumpai rumah yang sesuai di sekitar ibu kota dan kawasan berdekatan.
“Kita ada pilih tempat lain seperti di Kuala Lumpur, Port Dickson dan Selangor. Tetapi tidak jumpa rumah yang sesuai dengan kriteria.
“Jumlah teroka untuk rumah sahaja adalah 32 buah rumah. Hari sebelum pengambaran itu dah ‘lost’ dan terfikir nak menunda.
“Mujur di Kelantan, kami dapat gambar dan video dari tuan rumah. Kemudian, bila lihat video berkenaan, rumah ini ada potensi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, pemilihan itu juga adalah memenuhi kriteria rumah agam selain dapat melakukan babak yang besar pada ruang yang berbeza di dalam kawasan rumah.
“Kami nak rumah agam, bukan setakat banglo sahaja. Tetapi dia nampak agam. Sewaktu saya baru sampai di tempat ini pun tertanya-tanya betul ke ini. Jadi, pemilihan rumah ini tepatlah.
“Ia mempunyai surau sendiri, menara bagi melihat kapal terbang dan boleh lihat seluruh Kota Bharu. Selain rumah ini juga mempunyai enam ruang tamu dan sembilan bilik. Maka, kami dapat melakukan babak yang besar dalam setiap tempat.
“Di ibu kota dapat juga satu rumah tetapi kos sewanya sama dengan kos filem. Pilihan saya juga 110% lebih sesuai berbanding di sini. Tetapi, bila dapat tahu sahaja harga sewanya tinggi, saya batalkan. Saya sebagai pengarah yang bertanggungjawab bukan semata-mata apa yang saya mahukan, tetapi kerana penerbit juga,” ujarnya.
Sekadar informasi, filem Don Dukun arahan pengarah Waan Hafiz turut membariskan barisan pelakon hebat antaranya Zul Ariffin, Douglas Lim, Sangeeta Krishnasamy, Marsha Milan, Ropie, Datuk Yusof Haslam, Sharifah Aryana, Sharifah Husna, Serra Kamal dan ramai lagi.
Penggambaran filem ini dijalankan di Kuala Lumpur dan Kelantan dengan tempoh keseluruhan 22 hari.