Jumlah ayam bulat diimport meningkat 80 peratus - Utusan Malaysia

Jumlah ayam bulat diimport meningkat 80 peratus

RONALD Kiandee (dua kiri) melihat barangan yang akan dieksport ke luar negara ketika membuat tinjauan operasi pemeriksaan dan penguatkuasaan Maqis, KLIA Kargo, Sepang Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan terdapat peningkatan 80 peratus kemasukan jumlah ayam bulat yang diimport ke dalam negara sejak Jun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, peningkatan itu dikesan susulan pelaksanaan inisiatif pemansuhan permit import (AP) dan penangguhan fi permit membabitkan beberapa komoditi makanan termasuk ayam bulat.

“Ini dapat dilihat daripada peningkatan jumlah import pada Mei lalu sebanyak 258 tan metrik berbanding 471 tan metrik pada bulan lepas. Selain itu, kemasukan keratan ayam juga meningkat sebanyak 30 peratus daripada 7,800 tan metrik kepada 10,200 tan metrik setelah inisiatif itu diperkenalkan,” katanya selepas meninjau operasi import eksport produk pertanian di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Katanya, biarpun kemasukan ayam bulat dipermudahkan, namun aspek biosekuriti makanan berkenaan sentiasa diutamakan iaitu selamat untuk dimakan, bersih, halal dan bebas daripada segala penyakit.

Ronald berkata, secara keseluruhan inisiatif itu membantu lebih 380 syarikat yang berdaftar sebagai pengimport produk makanan haiwan di negara ini.

Menurutnya, sehingga kini, sejumlah 490 konsainan bijirin dan makanan haiwan dengan kuantiti sebanyak 173,000 tan metrik bernilai RM483 juta mendapat manfaat dari proses kemasukan pantas di pintu-pintu masuk negara.

“Sehingga Jun lalu kemasukan di pintu masuk Kompleks Kargo KLIA adalah sebanyak 14,400 transaksi dengan purata 13,500 tan metrik produk pertanian bernilai RM392 juta setiap bulan,” katanya.

Sebelum ini, MAFI menerusi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menguatkuasakan penangguhan kutipan fi AP bagi komoditi makanan termasuk jagung, soya, gandum dan ayam bulat sejak 21 Jun lalu.

Langkah itu dibuat bagi memastikan sekuriti makanan dalam negara terjamin susulan kos bahan mentah makanan ternakan yang tinggi yang turut menyumbang kepada kenaikan harga ayam di pasaran tempatan.

Sementara itu, Ronald berkata, peningkatan jumlah import itu turut didorong tambahan kelulusan loji sembelihan baru ayam termasuk daging lembu dan kerbau di 26 buah negara.

“Setakat ini, kerajaan menerusi pelbagai agensi mengiktiraf 227 loji sembelihan dan pemprosesan dari 26 buah negara termasuk Thailand, India dan Pakistan. Kami akan terus berusaha untuk meningkatkan loji-loji luar negara yang layak dan menepati piawaian bagi memastikan tiada sebarang unsur monopoli dan manipulasi pasaran sekali gus dapat menawarkan harga yang murah kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya