Jual rokok kepada pelajar, tujuh premis diberi notis  - Utusan Malaysia

Jual rokok kepada pelajar, tujuh premis diberi notis 

MUHAMAD AKMAL Saleh (tengah) menunjukkan rokok tidak bercukai dipercayai diseludup ketika sidang akhbar di Wisma Persekutuan, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara menjual rokok pada harga minimum dan kepada individu bawah umur termasuk pelajar sekolah, tujuh premis perniagaan sekitar Melaka diberikan lapan notis berjumlah RM4,000.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, menerusi operasi mega bersepadu sejak kelmarin (Khamis), kira-kira 155 peket rokok tidak bercukai dipercayai diseludup ke negara ini bernilai RM1,542 dirampas.

Beliau berkata, menjual produk tembakau kepada individu bawah umur merupakan satu kesalahan dan pihaknya turut mengesan terdapat peniaga yang berkali-kali mengulanginya, meskipun notis kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

“Kesemua tujuh premis itu JKN telah mengambil tindakan mengeluarkan notis berhubung Peraturan 8C (1) dan Peraturan 9 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

“Bertindak atas aduan awam, kita menjalankan risikan terlebih dahulu sebelum menyerbu tujuh premis yang meliputi ketiga-tiga daerah dalam negeri ini kerana menjalankan aktiviti menjual rokok secara salah.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut mengeluarkan dua notis kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1976 jika disabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi di Wisma Persekutuan, Ayer Keroh di sini semalam.

Secara keseluruhan, Muhamad Akmal berkata, sebanyak 104 notis pelbagai kesalahan melibatkan rokok bernilai RM29,750 telah dikeluarkan pihaknya.

“Daripada 104 notis tersebut, seramai 66 individu diberi notis kompaun kerana merokok di kawasan larangan merokok.

“JKN telah memantau 180 buah premis termasuk kedai runcit dan kedai makan,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN