PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berpandangan cadangan waktu bekerja empat hari seminggu hendaklah dilihat secara holistik terutamanya dari segi kesesuaian serta keberkesanan terhadap struktur perkhidmatan awam di negara ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum akan pandangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan pelbagai pihak berhubung cadangan berkenaan.
Katanya, cadangan waktu bekerja empat hari seminggu adalah di peringkat penelitian dan kajian sahaja malah JPA sentiasa terbuka untuk mendapatkan input menyeluruh daripada pihak berkepentingan bagi mengkaji secara empirikal kebolehlaksanaan cadangan ini.
“Beberapa buah negara kini sedang melaksanakan waktu bekerja empat hari seminggu secara percubaan.
“Namun, JPA berpandangan cadangan waktu bekerja empat hari seminggu hendaklah dilihat secara holistik terutamanya dari segi kesesuaian serta keberkesanan terhadap struktur perkhidmatan awam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Shafiq berkata, pihaknya juga amat cakna akan kesan dan impak pelaksanaan sebarang dasar baharu terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam khususnya ketika kerajaan dalam proses merancakkan semula ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Kerajaan melalui JPA juga sentiasa mengkaji pelbagai aspek dari segi kemudahan, kemajuan kerjaya dan penambahbaikan proses kerja yang menjurus ke arah peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan awam berpaksikan rakyat,” katanya.
Baru-baru ini, Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat dalam satu kenyataan berpandangan kerajaan hanya merugikan sumber dan membuang masa saja sekiranya berhasrat membuat kajian kebolehlaksanaan berkenaan waktu bekerja empat hari seminggu yang sebenarnya tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia buat masa ini.
“Kerajaan pada hakikatnya perlu lebih fokus kepada isu pekerjaan yang lebih penting dan yang sudah diumumkan tetapi masih pada peringkat kajian atau tidak dilaksanakan lagi walaupun sudah dikuatkuasakan.
“Sumber dan masa yang perlu digunakan oleh kerajaan untuk mengkaji kebolehlaksanaan empat hari bekerja seminggu itu sepatutnya digunakan untuk ‘merawat’ situasi semasa yang membelenggu penjawat awam yang terkesan dengan isu gaji rendah serta hal kebajikan lain,” katanya.
Kenyataan CUEPACS itu susulan Khamis lalu, Mohd Shafiq berkata, pihak JPA dilaporkan menubuhkan pasukan mengkaji sistem bekerja empat hari seminggu di negara ini. – UTUSAN